KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan kakitangannya yang terbabit rasuah ataupun sebarang pelanggaran integriti.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja, digantung atau diturunkan pangkat terhadap mereka yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti jenayah rasuah dan salah laku.
“JIM juga turut melakukan beberapa siri tangkapan terhadap pegawai-pegawai Imigresen dan sindiket yang terlibat di dalam jenayah ini di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan menghadapkan mereka yang terbabit ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan beberapa akhbar tempatan dan atas talian berkenaan sindiket yang melibatkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan penahanan enam pegawai imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka disyaki terlibat di dalam aktiviti penyeludupan orang serta membenarkan individu yang telah disenarai hitam melepasi pemeriksaan imigresen.
Menurut Mustafar, bagi membendung masalah ini, Jabatan Imigresen sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi kepada pegawai dan kakitangannya.
Ia meliputi aspek pendidikan selain strategi pencegahan daripada segi sistem prosedur kerja dengan memperkemaskan sistem dan tatacara kerja sedia ada, tambah beliau.
Menurut Mustafar, pihaknya serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai sentiasa berada pada tahap maksimum dengan menjalankan program-program pematuhan serta kesedaran memerangi salahguna kuasa serta menjalin kerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai. – MalaysiaGazette