KUALA LUMPUR – UMNO dinasihatkan agar terus melupakan niat untuk meraih kuasa kembali dalam kerajaan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ujarnya, dari pemimpin sehinggalah ke akar umbi perlu sedar bahawa rakyat sudah menolak UMNO dan perlu melakukan sesuatu supaya dapat bangkit semula tidak lama lagi.
UMNO akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa 10 akan datang, untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu.
“UMNO mesti membangunkan ‘Dekad Pencerahan’ untuk bangsa Melayu. Atau apa yang saya panggil “The New Malay Renaissance,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mohamad Hasan atau lebih dikenali Tok Mat berkata, ahli mahupun pempimpin perlu menerima segala teguran, kritikan dan hukuman.
Tambahnya, UMNO sewajarnya menjadi asas yang menyedarkan parti itu memerlukan pengislahan yang sebenar-benarnya.
“Bukan pada struktur. Bukan hanya sekadar melaksanakan pemilihan dan mempunyai kepimpinan baharu.
“Bukan sekadar menukar nama atau slogan. Semua itu kosmetik. Semua itu hanya ranting-ranting kecil sahaja,” katanya. -MalaysiaGazette