KUALA LUMPUR – Senarai perisytiharan harta anggota kabinet dan anggota Parlimen yang sepatutnya dipaparkan di portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Okt ini ditunda ke 15 Oktober.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata penangguhan itu dibuat memandangkan semua anggota kabinet dan anggota Parlimen belum genap tiga bulan tempoh perkhidmatan mereka.
“Sepatutnya 1 Okt ini tapi kita tangguhkan dua minggu kepada 15 Okt untuk semua anggota kabinet dan parlimen untuk isytiharkan harta mereka.
“Senarai harta ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pihak SPRM sebelum kita siarkan di Portal SPRM,” katanya kepada pemberita selepas majlis deklarasi dan menandatangani ikrar bebas rasuah ketua-ketua jabatan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini perisytiharan harta tidak melibatkan anggota dewan undangan negeri (Adun) dan kepimpinan di peringkat negeri.
— BERNAMA