Home Utama Terima kasih KJ, tapi lantikan saya melalui mekanisme yang betul – Azhar...

Terima kasih KJ, tapi lantikan saya melalui mekanisme yang betul – Azhar Azizan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memulakan tugas di Menara SPR, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2018.
Azhar Azizan Harun. foto HAZROL ZAINAL

PUTRAJAYA – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, beliau bersedia seandainya pelantikannya perlu mendapatkan perakuan Parlimen terlebih dahulu.

Bagaimanapun pada masa yang sama, jelas Azhar, pelantikannya sebagai Pengerusi SPR baharu menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang memendekkan tempoh perkhidmatannya 1 Julai lalu sebenarnya telah melalui ‘mekanisma’ betul setakat ini.

“Saya sebenarnya sangat berterima kasih dengan cadangan Yang Berhormat Rembau, Khairy Jamalauddin. Saya tidak mahu memberi sebarang komen tentang janji manifesto kerana sebarang pendapat saya tidak seharusnya menjurus kepada pihak tertentu sahaja.

“Tetapi ingin saya tegaskan di sini, seandainya pada masa hadapan saya atau mana-mana pemimpin PH terpaksa meletakkan jawatan terlebih dahulu sebelum mendapat mandat Parlimen dan sebagainya, kami sebenarnya lebih dari bersedia. Tetapi buat masa ini, mekanisme ini belum lagi diwujudkan.

“Setakat ini, pelantikan ini mengikut lunas mekanisme yang betul dan sedia ada. Jika pada masa hadapan, saya tidak ada sebarang masalah seperti yang dicadangkan oleh Khairy,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan hari pertama beliau di Menara SPR di Putrajaya sebentar tadi.

MGF28092018_PENGERUSI SPR AZHAR08
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap pada sidang media pada hari pertamanya memulakan tugas di Menara SPR, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 28 SEPTEMBER 2018.

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO mengkritik pelantikan Azhar yang lebih mesra dengan panggilan Art Harun itu tidak pernah dirujuk kepada Parlimen untuk perakuan, seperti yang dijanjikan PH dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Kata Khairy, kaedah pelantikan yang membelakangi manifesto itu seolah-olah menggambarkan PH mengabaikan komitmennya terhadap perjuangan reformasi institusi yang diuar-uarkan selama ini.

Azhar yang juga merupakan seorang peguam kemudian digesa menolak buat sementara waktu pelantikannya sebagai Pengerusi SPR bagi menunjukkan komitmennya terhadap reformasi institusi.

Janji 17 dalam manifesto PH menyatakan pelantikan ahli SPR mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen, selain membebaskan sepenuhnya SPR daripada campur tangan Perdana Menteri dan ahli politik dengan meletakkannya di bawah pemantauan Parlimen.

Dalam pada itu, menurut Azhar, beliau kini lebih fokus dalam melakukan transformasi yang menjadi agenda utama kerajaan PH terutamanya dalam memartabatkan SPR.

“Saya berikrar untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada saya dengan penuh telus. Seperti yang menjadi laungan PH, ‘Malaysia Baru’, saya mahu menaik taraf SPR ke peringkat yang lebih tinggi terutamanya dalam peringkat antrabangsa.

“Itu adalah fokus dan niat saya sebenarnya. Saya mahu SPR menjadi hebat dan mendapat perhatian dunia, itu adalah matlamat saya. Sudah tentu saya dapat lakukan semua ini dengan bantuan serta sokongan ahli SPR yang lain juga,” ujarnya.

Azhar juga memberi gambaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai ujian pertamanya selaku Pengerusi SPR yang baharu.

Ujar Azhar, beliau akan memastikan PRK itu berjalan dengan bersih dan adil seperti mana termaktub dalam undang-undang negara.

“Selain itu, saya berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dalam masa terdekat berhubung usaha penambahbaikan pilihan raya di negara ini. Tambah baik perlu dilakukan,” tegasnya. – Malaysia Gazette