Home Politik 14 hari berkempen, yang menyerlah boleh kurang menyerlah – Isa Samad

14 hari berkempen, yang menyerlah boleh kurang menyerlah – Isa Samad

Isa Samad
Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad (dua kiri) bersalaman dan berbual dengan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar (kanan) ketika menghantar borang pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Calon Bebas untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Abdul Samad menganggap tidak ada calon yang terlalu menyerlah sehingga berpotensi untuk menang.

Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, mereka yang menyerlah boleh menjadi kurang menyerlah dan sebaliknya.

“PRK kali ini sama seperti pilihan raya lain sebelum ini, tidak ada sebarang luar biasa, saya dapat rasakan biasa sahaja.

Ditanya mengenai saingan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan  menyerlah, beliau berkata:”Kita ada 14 hari berkempen, yang menyerlah boleh jadi kurang serlah dan begitu juga kepada kurang menyerlah jadi sebaliknya,” katanya selepas proses penamaan calon PRK Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson pagi tadi.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara dua calon berparti iaitu Anwar dari Pakatan Harapan dan Pas diwakili calon bekas anggota veteran tentera udara, Mohd Nazari Mokhtar serta lima calon Bebas termasuk Isa.

Isa bertanding sebagai calon Bebas selepas mengumumkan keluar UMNO.

Katanya, sebelum ini UMNO berhasrat untuk memastikan beliau bertanding termasuk Pilihan Raya Umum yang lalu namun hasrat itu terhenti begitu sahaja.

“Kini peluang itu hadir kerana ada orang letak jawatan di Parlimen ini membuka kepada PRK dan UMNO juga tidak bertanding.

“Dari dulu lagi saya tidak diberi peluang oleh UMNO di Parlimen. Inilah kali pertama dapat bertanding di Parlimen,” ujar beliau.

Ditanya mengenai persaingan antara beliau dan Anwar, Isa berkata, masing-masing mempunyai kekuatan yang sama.

“Tunggu 14 hari berkempen. Macam macam boleh berubah, jika saya tidak yakin untuk menang, pasti saya tidak masuk hari ini,” tambah beliaui.- MalaysiaGazette