Home Politik Kekuatan akar umbi jadi kebimbangan musuh UMNO

Kekuatan akar umbi jadi kebimbangan musuh UMNO

UMNO
Datuk Seri Azalina Othman

KUALA LUMPUR – Kejituan UMNO di peringkat akar umbi menjadi kebimbangan musuh-musuh yang cuba melemahkan parti hingga menimbulkan cerita-cerita palsu kononnya parti keramat orang Melayu ini akan berkubur.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak-pihak terbabit cuba mengada-ngadakan cerita sedangkan apa yang diperkatakan itu sebenarnya tidak benar.

“Kenapa bunga raya (PPBM) belum apa-apa dah mulakan cerita sebelum Krismas 25 Disember semua bahagian UMNO akan berkubur.

“Kononnya UMNO tak boleh hidup, UMNO rasuah, UMNO jahat dan segala-galanya.

“Kerana mereka tahu kekuatan UMNO di akar umbi, itu yang mereka nak,” katanya ketika menggulung perbahasan Pergerakan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC di sini hari ini.

Menurut Azalina, pihak terbabit cuba mencaras UMNO dengan segala bentuk dan bermacam serangan namun, kekuatan di peringkat sayap-sayap serta pimpinan yang lain tetap menguatkan parti.

Dalam pada itu Azalina berkata, kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu adalah berpunca daripada ketakutan dan kewujudan berita palsu.

Katanya, kewujudan media sosial yang tidak terkawal serta hebahan berita-berita telah menjadi bahana kepada kemusnahan kerajaan terdahulu.

“Kerajaan masa itu tak bersedia nak berlawan dengan kecergasana dan kehebatan media sosial.

“Banyak benda boleh terjadi dengan berita palsu dan jatuhnya negara adalah kerana berita palsu. Satu dunia tahu bahayanya media sosial ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette