Home Nasional Kerjasama UMNO-Pas satukan umat Islam, kaum Melayu

Kerjasama UMNO-Pas satukan umat Islam, kaum Melayu

Noraini Ahmad
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berucap pada Persidangan Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara UMNO dan Pas perlu dilihat sebagai landasan untuk menyatukan umat Islam dan kaum Melayu di negara ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kerjasama antara kedua-dua parti itu mampu menjadi suara semak dan imbang dalam usaha mengukuhkan blok pembangkang pada masa ini.

Katanya, langkah kerjasama itu pastinya akan mempunyai cabaran dan ia perlu dihadapi dengan berani.

“Namun, diharapkan ia mampu menjadi permuafakatan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Noraini berkata, UMNO sukar dihancurkan dari luar, tetapi mudah dipecahkan dari dalam.

Ujarnya, ahli parti perlu sedar bahawa ada usaha berterusan untuk memecahbelahkan parti dari dalam oleh musuh politiknya.

“Parti kita sudah tidak mampu lagi menanggung sebarang perpecahan selepas kekalahan teruk pada PRU-14.

“Sepatutnya kita berusaha untuk berpadu bak perumpamaan silam ‘serumpun bak serai, sejunjung bak sirih’. Bukan sahaja sesama ahli parti, bahkan dengan parti-parti yang sehaluan dengan perjuangan kita,” tambahnya.

Dalam pada itu, Noraini menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhenti daripada menyalahkan kerajaan sebelum ini.

Katanya, PH perlu memikul tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap setiap tindakan mereka.

Beliau turut menyarankan sekiranya PH tidak mampu mentadbir negara, mereka perlu mengembalikannya semula kepada Barisan Nasional (BN).

“Sebelum pilihan raya umum, bergegar janji mereka untuk melakukan macam-macam perkara, tetapi setelah mendapat kuasa dan jawatan pelbagai alasan yang diberikan.

“Kononnya hendak menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), tetapi rakyat kini terpaksa menanggung cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Malah, dahulu berdegar-degar bersimpati dengan penerima PTPTN, namun setelah mendapat kuasa mengatakan tiada tanggungjawab moral kalau peminjam tidak membayarnya.

“Selain itu, isu pemansuhan tol dari Simpang Renggan ke Johor Bahru, sekarang mana pergi janji tersebut. Jangan lupa pula dengan laungan menurunkan harga petrol RON 95 yang sehingga kini 142 hari memerintah harga masih di takuk lama,” katanya. – MalaysiaGazette