Home Politik Sayap UMNO desak pimpinan ambil tindakan terhadap petualang

Sayap UMNO desak pimpinan ambil tindakan terhadap petualang

KUALA LUMPUR – Sayap-sayap UMNO mengutarakan pandangan sama apabila mendesak pucuk pimpinan parti supaya mengambil tindakan tegas terhadap petualang-petualang yang membuat keputusan meninggalkan parti pada saat UMNO sedang diuji.

Langkah tersebut perlu dibuat termasuk dengan mengenakan tindakan undang-undang.

Dalam ucapan dasar ketua pergerakan ketiga-tiga sayap Pemuda, Puteri dan Wanita, perkara sama dibangkitkan selepas melihat alasan yang diberi untuk meninggalkan parti disifatkan sebagai retorik.

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki, tindakan tegas itu adalah wajar kerana mereka (petualang) telah menggunakan segala kemudahan parti untuk meraih jawatan sebelum ini.

“Ingatlah UMNO yang kalian sisih inilah yang pernah menatang anda di waktu senang, mendukung anda hingga ke puncak.

“Mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti tetapi akhirnya curang kepada akar umbi perlu diambil tindakan tegas termasukan tindakan undang-undang,” katanya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan pula berkata, selain dikenakan tindakan tegas dan drastik, pergerakan itu mendesak presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memikirkan tindakan undang-undang yang wajar terhadap mana-mana wakil rakyat UMNO yang keluar parti.

Ujarnya, tindakan itu perlu dilakukan sama ada mereka yang telah menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain.

“Saya menyeru kepada semua supaya meneguhkan pendirian. Inilah satu-satunya parti yang ada untuk kita berpijak, supaya langit yang dijunjung akan terus melindungi bangsa dan agama kita,” katanya.

Sementara itu, Pergerakan Wanita UMNO menerusi ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad mahu UMNO memastikan satu reformasi terpimpin terhadap perlembagaan parti dibuat agar tindakan ke atas wakil rakyat UMNO yang keluar parti dapat dilakukan segera.

“Wakil rakyat perlu memulangkan semula kerusi kepada kita (UMNO dan Barisan Nasional) sekiranya mereka bertindak keluar parti.

“Meskipun ia bukan satu kesalahan dari segi undang-undang sivil, namun tindakan wakil rakyat yang melompat parti telah melanggar kontrak sosial dan menghancurkan kepercayaan parti,” katanya. – MalaysiaGazette