Home Utama UMNO saman wakil rakyat keluar parti – Ahmad Zahid

UMNO saman wakil rakyat keluar parti – Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 SEPTEMBER 2019
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 29 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – UMNO mengambil langkah drastik menyaman wakil-wakil rakyat yang bertindak keluar parti itu dan mengubah kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 di atas tiket Barisan Nasional (BN) kepada bebas.

Pendekatan terbaharu itu diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, writ saman telah pun dihantar kepada individu terbabit.

“Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, kita telah pun mengambil langkah drastik melalui tindakan undang-undang,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, menerusi tindakan undang-undang itu, wakil-wakil rakyat yang terbabit dituntut mengosongkan semula kerusi yang dimenangi sebelum ini selain perlu membayar kos guaman bagi pengurusan kes berkenaan.

Dengan nada tegas, beliau berkata, individu yang bertindak keluar parti selepas menang dalam PRU14 atas sokongan UMNO dan BN tidak lagi mempunyai asas moral untuk menjadi wakil rakyat.

“Kerusi itu milik UMNO. Kerusi itu milik penyokong Barisan Nasional,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, semua wakil rakyat UMNO telah diminta untuk menandatangni akujanji.

Jelasnya, sama ada menjadi ahli bebas atau menyertai parti lain, status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik dan mereka juga kena membayar penalti dan ganti rugi. – MalaysiaGazette