KUALA LUMPUR – Penggunaan rokok elektronik atau vape nyaris diharamkan kerajaan pada tahun 2015 selepas berdepan pelbagai kontroversi pada waktu itu.
Ini kerana budaya penggunaan vape menjadi fenomena secara tiba-tiba dan semakin digemari orang ramai khususnya dalam kalangan generasi muda yang beralih daripada menghisap rokok.
Kebimbangan wujud mengenai peningkatan penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia kerana risikonya yang mendatangkan masalah kepada kesihatan.
Ini kerana ketika itu, penggunaan vape kemungkinan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan kerana ia mengandungi propylene glycol (PG) dan nikotin serta formaldehyde dalam cecair rokok elektronik tersebut.
Namun mengambil contoh di United Kingdom (UK), vape bukan sahaja tidak diharamkan malah penghisap rokok digalakkan untuk beralih kepada vape.
Ini kerana vape dianggap langkah permulaan awal untuk berhenti menjadi perokok kerana dikatakan dapat mengurangkan ketagihan merokok secara perlahan.
Ia diakui oleh usahawan vape, Zach Oh apabila memiliki ramai pelanggan yang berjaya mengurangkan ketagihan merokok dan beralih kepada vape sebelum berhenti secara berperingkat.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Vape Empire Malaysia memberitahu, pihaknya kini telah menambahbaik produk tersebut dalam mematuhi arahan pihak berkuasa.
Jelasnya, antaranya menyatakan maklumat perisa vape seperti senarai kandungan, tarikh dikeluarkan dari kilang dan tarikh akhir penggunaannya.
“Pada masa sama, kandungan perisa vape kini tidak lagi mengandungi nikotin dalam usaha mengurangkan kesan buruk kepada kesihatan.
“Malah kandungan perisa vape rasanya lebih lembut dan tidak keras seperti rokok yang menjadi antara faktor perokok beralih kepada vape dan sebelum kebanyakannya mereka berhenti menghisap vape perlahan-lahan,” katanya.
Beliau berkata demikian Majlis Penutup Malaysia International Vape Summit 2018 baru-baru ini.
Vape Empire Malaysia menjadi penaja utama acara yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam dan dihadiri lebih 80,000 pengunjung.
Zach memberitahu, pihaknya mencatat nilai jualan vape sebanyak RM15 juta pada tahun lalu dan menyasarkan gandaan jualan RM30 juta pada hujung tahun ini.
Jelasnya, industri vape mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara kerana pengguna vape telah melebihi 500,000 orang dan ia dilihat satu perkembangan yang baik jika dinilai daripada sudut penjanaan ekonomi.
“Cuma kita perlu mendidik pengguna dengan budaya baik dan selamat untuk tidak menggunakan vape di tempat awam yang mempunyai penyaman udara dan menghormati orang sekeliling.
“Selain itu, pengguna mestilah berumur 18 tahun dan ke atas, tidak menghembus asap vape kepada orang lain dan bertanggungjawab terhadap peralatan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette