Home Politik 6 pesaing tidak cukup kuat untuk gugat Anwar

6 pesaing tidak cukup kuat untuk gugat Anwar

Anwar Ibrahim ketika hadir pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Majlis Perbandaran Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Biarpun ditentang oleh enam pesaing lain, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak berdepan dengan halangan getir untuk memenangi kerusi Parlimen Port Dickson.

Setakat ini, pesaing-pesaing Anwar tidak ada alasan kukuh untuk menghalang Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada memenangi kerusi berkenaan.

Bukan calon sahaja yang jadi penentu, trend pengundi yang melihat parti terbesar dan kuat sebagai asas untuk diberikan undi juga menjadi faktor penentu kemenangan.

Penganalisis politik, Mohd Roslan Saludin berkata, lagi besar pengaruh parti, semakin mudah calon parti berkenaan akan mendapat undi.

Selain Mohd Nazari Mokhtar yang mewakili Pas, Anwar hanya berdepan dengan lima calon Bebas.

Mereka ialah Lau Seck Yan (Bebas), Saiful Bukhari Azlan (Bebas), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas), Steve Chan Keng Leong (Bebas) dan Kan Chee Yuen (Bebas).

Mengambil kira komposisi pengundi iaitu 43 peratus Melayu, 33 peratus Cina dan 22 peratus India serta bakinya lain-lain kaum, sudah tentu ada 43 peratus pengundi akan mengundi calon Melayu dan Islam yang boleh memberi kesan besar dalam konteks nasional.

Calon-calon bebas sedia ada tidak berupaya, lantas sukar memberi saingan, katanya Mohd Roslan.

Setakat ini, tiada alasan yang cukup kuat menampakkan calon-calon sedia ada mampu menghalang Anwar menjadi Ahli Parlimen, sekaligus melayakkan beliau menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin dari segi ketokohan dan pengalaman Mohd Isa nampak seperti mengancam. Mohd Isa mungkin boleh meraih undi terbanyak dalam kalangan calon calon yang bertanding menentang Anwar namun masih belum mampu menyaingi undi yang bakal diperolehi oleh Anwar,” katanya kepada MalaysiaGazette

Kehadiran Saiful Bukhari juga tidak menampakkan kesan saingan yang ketara, jika hanya bersandarkan kes liwat yang diputuskan mahkamah satu ketika dulu, sebenarnya sudah dilupakan oleh rakyat.

Apatah lagi, Anwar sudah mendapat pengampunan penuh dan ternyata pengaruh politik terus kekal.

Tambahan pula, usaha menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah agenda yang sedia maklum diterima oleh pengundi-pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Malah, pengundi Parlimen Port Dickson juga sudah mengetahui Pilihan Raya Kecil yang diadakan bagi menyempurnakan dan memenuhi agenda PRU yang lalu.

“Justeru, masih belum kelihatan sebarang isu yang mampu digunakan oleh mana-mana calon yang bertanding bagi menghalang Anwar untuk menang di Port Dickson,” tambah Mohd Roslan.

Kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan emenuhi janji 100 hari yang terkandung dalam manifestonya juga tidak mampu menjadi isu besar menentang laluan Anwar ke Parlimen.

Menurutnya lagi, faktor lain ialah Pakatan Harapan khususnya PKR sukar ditandingi gerak kerjanya berdasarkan keupayaan merampas Negeri Sembilan dari Barisan Nasional pada pilihan raya lalu.

Ditambah dengan kekuatan yang dibawa dari seluruh negara dan tumpuan yang diberikan hanya di satu kawasan sahaja, memberi kelebihan kepada jentera Pakatan Harapan berkempen di Port Dickson.

“Pakatan Harapan masih bermotivasi tinggi selepas PRU14, sedangkan calon2 lain yang bertanding mungkin baru nak memulakan kerja-kerja penyelarasan dan merangka strategi masing-masing.

“Tidak mungkin dalam tempoh yang begitu singkat calon-calon yang bertanding mampu mewujudkan jentera pilihan raya yang berkesan dan efisien berbanding jentera Pakatan Harapan yang sudah pun bersedia, mantap dan disokong oleh jentera yang besar.

“Apatah lagi jentera Pakatan Harapan masih berada dalam mood “berbulan madu” dan kesepaduannya dalam menentukan kemenangan Anwar sukar untuk digugat oleh pencabar-pencabarnya,” katanya. – MalaysiaGazette