Home Politik UMNO macam Nokia

UMNO macam Nokia

Sebahagian perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,

KUALA LUMPUR – Kisah tiga syarikat gergasi telefon mudah alih menarik perhatian perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang sedang berlangsung ketika ini.

Wakil Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan menyamakan syarikat Nokia, Samsung dan Apple dengan parti politik seperti UMNO, Pakatan Harapan (PH) dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, suatu ketika dahulu Nokia menguasai 90 peratus penjualan produk telefon mudah alih, sama seperti UMNO yang mendapat sambutan dan sokongan orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, kesilapan besar syarikat itu ialah pihak pengurusannya terpedaya dengan laporan ketua-ketua unit mendakwa pemasaran dalam keadaan baik, produk mendapat sambutan, sedangkan ia tidak sebagaimana dilaporkan.

“Begitulah dengan UMNO, pucuk pimpinan terlalu mempercayai laporan orang harapannya yang mengatakan parti berada dalam landasan yang betul, sedangkan ketika itu sokongan parti menjunam jatuh.

“Ketika itulah, syarikat Samsung iaitu Pakatan Harapan mengambil kesempatan dengan mengeluar dan menawarkan produk lebih baik dari Nokia sehingga rakyat terpengaruh dan tidak lagi berminat kepada Nokia (UMNO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan menyokong Ucapan Dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Khairul Firdaus, di kesempatan itulah syarikat Apple yang disamakan dengan Dr Mahathir muncul kembali selepas kejatuhannya dengan misi dan wawasan luar biasa.

Katanya, UMNO yang pada dasarnya sudah jatuh dan menerima nasib malang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) baru-baru ini, dilihat seperti tidak mahu bangun dari kejatuhan itu.

“Itulah berlaku dalam UMNO..tidak mahu berubah. UMNO masih merasa selesa dengan corak lama,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan Pergerakan Pemuda UMNO pula sebagai alat pengecas power bank, yang hanya digunakan oleh pucuk pimpinan ketika dalam keadaan lemah.

Katanya, ketika itu keadaan sudah terlambat, UMNO gagal diselamatkan kerana terlalu mempercayai laporan yang sepatutnya diulang teliti, bukan diterima bulat-bulat.

Justeru, menurut Khairul Firdaus, UMNO perlukan melihat pada diri sendiri dengan mencari kesilapan diri, bukan menyalahkan parti lawan apabila diri berdepan dengan kekalahan. – MalaysiaGazette