Home Nasional Usaha haramkan UMNO tidak demokratik – Zahid

Usaha haramkan UMNO tidak demokratik – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Cubaan untuk mengharamkan UMNO oleh pihak-pihak tertentu disifatkan sebagai usaha yang tidak demokratik.

Ini kerana dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbezaan ideologi serta pegangan politik harus dihormati oleh semua pihak dan langkah mengharamkan parti yang kalah tidak sepatutnya berlaku, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, banyak khabar angin disebarkan kononnya beberapa individu akan diambil tindakan termasuk disiasat dan dituduh di mahkamah.

“Jika ia dilakukan mengikut ‘rule of law’ tidak mengapa. Bukan melaksanakan sesuatu itu ‘by law’.

“Perkara ini juga pernah berlaku ketika pertukaran kepimpinan, maka sesuatu yang dilakukan oleh kepimpinan baharu adalah tidak melakukan sesuatu yang dibuat untuk membalas dendam,” katanya pada sidang media sejurus selesai Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC di sini sebentar tadi.

Dengan tidak merujuk kepada individu tertentu Ahmad Zahid berkata, seseorang yang pernah menjadi negarawan dan seseorang yang pernah memimpin negara perlu dihormati oleh semua pihak.

Katanya, ia merupakan sebahagian yang dimaksudkan dalam prinsip demokrasi dan ia harus diterima.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, dalam usaha meraikan perbezaan pandangan dalam parti, UMNO tidak boleh melayani perbezaan-perbezaan itu.

Kebiasaannya kata beliau, seseorang yang ingin untuk menjadi pemimpin akan melakukan dua perkara sama ada dengan membuat hubungan atau membuat sesuatu di luar norma hubungan tersebut.

“Saya mengambil pendekatan di luar norma kerana melihat ia sebagai satu pandangan yang baik untuk menjaga parti.

“Saya ulangi beberapa kali, jangan ambil kesempatan dalam kesempitan,” ujarnya. – MalaysiaGazette