Home Nasional Ribut musnahkan harta benda di Klang

Ribut musnahkan harta benda di Klang

Pokok tumbang di sebuah kawasan perumahan di Klang selepas ribut dan hujan lebat petang tadi. foto Facebook

KLANG – Hujan lebat berserta angin kencang yang berlaku lebih dua jam di beberapa kawasan di sini mengakibatkan kerosakan teruk kepada sejumlah kenderaan, kemudahan awam dan bangunan.

Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor antara kawasan yang terjejas ialah Taman Berkeley, Taman Eng Ann dan Jalan Meru.

“Keadaan hujan lebat dan angin kencang itu bermula sekitar 2.15 petang,” demikian menurut sumber.

Di Taman Berkeley, sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan remuk dihempap pokok tumbang.

Seorang mangsa, Seah Ah Hooi, 67, berkata kereta Perodua Myvi miliknya yang baru sahaja dibaiki dan diganti tayar, remuk teruk dalam insiden itu.

“Saya bersyukur kerana saya tidak berada di dalam kereta ketika kejadian,” kata pesara swasta itu ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Unit Komunikasi Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam kenyataan berkata MPK telah mengarahkan semua jabatan terlibat mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat pula berkata aliran trafik secara keseluruhan bergerak perlahan disebabkan cuaca hujan dan kejadian pokok tumbang.

ribut2

Bumbung bangunan berterbangan di Klang ekoran hujan lebat dan ribut petang tadi. foto FacebookDi Klang Utara, insiden pokok tumbang berlaku dari Jalan Sireh di lencongan masuk ke Taman Seratus dan terus ke Jalan Batu Tiga Lama manakala Jambatan Musaidin dibuka satu lorong dari arah Klang Selatan ke Klang Utara berikutan pokok tumbang.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 48 saat viral menerusi media sosial menunjukkan banyak kenderaan yang menghala ke Shah Alam dan Klang melalui Lebuhraya Persekutuan berpatah balik ke arah Petaling Jaya dan ibu negara berikutan jalan ditenggelami air.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan agin kencang di beberapa daerah di Selangor seperti Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang hari ini. – MalaysiaGazette