KUALA TERENGGANU – Anggota Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan jumlah anggota Parlimen daripada UMNO akan semakin menyusut menjelang akhir bulan ini.
Berucap pada Pidato Malaysia Baru sempena pemilihan PKR di sini malam tadi, beliau berkata daripada 49 anggota Parlimen UMNO ketika ini, akan tinggal ‘tiga, empat kerat sahaja’.
“Keadilan (PKR) hari ini adalah blok terbesar di Parlimen. PKR ada 51 anggota Parlimen, DAP mempunyai 42 anggota Parlimen, UMNO ada 49 orang. Esok mungkin 40 orang, kemudian 20 orang dan hujung bulan ini tinggal tiga empat kerat sahaja,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, ketika ditemui media selepas program itu, menjelaskan bahawa kenyataan itu adalah berdasarkan penilaiannya terhadap Perhimpunan Agung UMNO yang baru berakhir, yang kelihatan lemah tanpa pendirian tegas dalam menentukan hala tuju parti tersebut.
Dalam mengajak anggota PKR menyokongnya dalam pemilihan PKR yang berlangsung Jumaat ini di Terengganu, Mohamed Azmin yang bertanding jawatan timbalan presiden berkata sekiranya diberi mandat beliau akan memberi sepenuh perhatian dalam memberi kebajikan kepada rakyat serta mengatur strategi menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Mengenai tindakan pencabarnya Rafizi Ramli yang kadang kala melontarkan pelbagai dakwaan yang bagaikan mempertikai kesetiaannya terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin berkata Rafizi perlu meneliti bagaimana perjuangannya (Azmin) sejak 1998 yang melalui pelbagai ranjau dalam mempertahankan Anwar.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang bertanding jawatan naib presiden, berkata anggota PKR perlu memilih kepimpinan utama parti itu berdasarkan komitmen menyatukan anggotanya bukan memecah belahkan atas kepentingan peribadi.
— BERNAMA