KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan menurunkan bayaran ujian komputer lesen memandu kepada RM20 bermula 1 Januari depan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, bayaran ketika ini adalah RM27 dan akan dikurangkan berikutan peningkatan bilangan pusat ujian tersebut di Institut Memandu.
“Kita membuat keputusan untuk membuka pusat ujian berkomputer kepada semua institut memandu bertaraf tiga bintang dan ke atas, yang menepati kriteria,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Ketika ini, sebanyak 103 pusat pemeriksaan di bawah e-servis menerusi MyEG, KOMMS dan Myspeed menawarkan pusat ujian berkomputer.
Terdapat kira-kira 150 institusi memandu dengan penarafan tiga bintang dan ke atas berdasarkan pengredan pada tahun 2017.
Anthony berkata, keputusan baharu itu tidak akan menjejaskan 103 pusat yang sedia ada di bawah MyEG, KOMMS dan Myspeed.
“Di bawah sistem baharu ini, kita menjangkakan kira-kira 200 pusat pemeriksaan di seluruh negara yang akan memberi banyak pilihan pusat ujian memandu kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette