Home Nasional Gelandangan klia2 ditahan polis

Gelandangan klia2 ditahan polis

Hassan
Hassan al Kontar, warga Syria yang menjadi gelandangan selama hampir tujuh bulan di klia2.

PUTRAJAYA – “Kami tidak kisah apa alasan dia tetapi apabila seseorang itu memiliki tiket penerbangan dan berada di kawasan pelepasan, dia perlu menaiki pesawat.

“Sekiranya gagal untuk berbuat demikian, ini bermakna dia berada di zon larangan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang sepatutnya,” tegas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali ketika mengulas mengenai warga Syria yang terkandas sejak Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Beliau turut mengesahkan, warga Syria terbabit Hassan al-Kontar telah ditahan pihak polis semalam.

Sebelum ini viral di Facebook mengenai kisah Hassan yang dianggap menyamai watak Viktor Navorski lakonan Tom Hanks dalam filem The Terminal.

Dalam filem itu, Navorski terkandas di Lapangan Terbang John F. Kennedy selepas menjadi persona non grata apabila negaranya tidak diiktiraf kerana peperangan.

Menurut Mustafar, Hassan telah memburukkan imej Malaysia apabila menyiarkan pelbagai hantaran di Facebook mengenai kisahnya yang menjadi gelandangan di klia2 yang telah menarik pelbagai reaksi umum termasuk dari pejuang hak asasi manusia.

Walaupun menggunakan alasan takut dipaksa menjadi tentera apabila dihantar pulang ke negaranya, Mustafar berkata, satu tindakan tegas perlu diambil dari pihak kerajaan Malaysia sendiri.

“Dia akan dirujuk semula kepada Jabatan Imigresen apabila polis selesai melakukan soal-siasat.

“Kami pula akan berhubung dengan Kedutaan Syria bagi mempermudah urusan penghantaran pulang lelaki tersebut ke negaranya.

“Dia menggunakan alasan tidak mahu pulang ke Syria kerana takut dipaksa menjadi askar atau apa sahaja alasan sebenarnya tetapi kami menamatkan kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette

.