Home Sukan Saya akan jumpa Teong Kim – Syed Saddiq

Saya akan jumpa Teong Kim – Syed Saddiq

Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. foto AFIQ RAZALI, 02 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertemu dengan Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim dalam waktu terdekat ini.

Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan tarikh dan waktu pertemuan dengan bekas Ketua Jurulatih B-16 yang dipecat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

“Saya akan bertemu beliau dalam masa terdekat ini namun maklumat lanjut akan saya maklumkan kemudian,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi Motosports Townhall Session bersama penggerak dan komuniti sukan permotoran negara di kementeriannya di sini hari ini.

Difahamkan pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan tentang isu kontrak dan masa depan membabitkan jurulatih tersebut ekoran kegagalan skuad B-16 kebangsaan merebut slot ke Piala Dunia B-17 2019 di Peru baru-baru ini.

Syed Saddiq sebelum ini dikecam kerana mendedahkan gaji Teong Kim sambil meminta pengendali itu bertanggungjawab atas kegagalan pasukan pada pada kempen Piala AFC B-16 apabila gagal melepasi peringkat kumpulan sekali gus tidak layak ke suku akhir.

Namun Parlimen Muar itu tetap dengan pendirian untuk menilai semula pakej gaji sebanyak RM175,000 yang diterima Teong Kim di bawah NFDP.

Ditanya status surat peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Azli Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan itu  enggan mengulas lanjut kerana hal itu belum dibincangkan di peringkat kementerian.

Sementara itu, Teong Kim dilantik sebagai Pengarah NFDP pada 2013, sebelum turut bergelar Pengarah Akademi Mokhtar Dahari pada 2016.

Bekas pemain Kuala Lumpur dan pasukan kebangsaan satu ketika dahulu itu memulakan karier kerujulatihan bersama skuad remaja Bayern Munich pada tahun 2001 sebelum menyertai NFDP.

NFDP yang dilancarkan pada 10 April 2014 adalah hasil cetusan idea bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mahu melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten serta mengubah ekosistem pembangunan bola sepak yang lebih sistematik dan menyeluruh.

NFDP kini mempunyai lebih 25,000 pelatih berusia tujuh hingga 17 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara yang dibantu lebih 1,000 jurulatih termasuklah pelatih elit di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang.

Pada kelayakan Piala Dunia B-17 2019 di Peru, skuad negara melakar kemenangan di saingan pembuka tirai dengan menewaskan Tajikistan 6-2, tetapi kemudian tewas 4-2 dengan Thailand dan ditundukkan Jepun 2-0 semalam.

Kekalahan itu meleburkan harapan skuad negara untuk mengulangi pencapaian anak didik S. Balachandran yang hanya selangkah ke Piala Dunia B-17 2015 di Chile apabila tewas tipis 2-1 kepada Australia pada suku akhir di Thailand pada 2014.- MalaysiaGazette