JAKARTA – Pulau Sulawesi terus diancam bencana alam apabila Gunung Berapi Soputan yang terletak di Kabuten Minahasa, Provinsi Sulawesi Utara, meletus pagi ini.
Gunung itu meletus pada 8.47 pagi tadi (waktu Indonesia Timur) dan mengeluarkan abu vulkanik berwarna kelabu setinggi 4,000 meter yang kepulannya menghala ke arah barat laut, namun setakat ini dilaporkan tidak menjejaskan aktiviti penduduk atau mengganggu operasi penerbangan pesawat.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata pihak berkuasa Indonesia telah mengeluarkan arahan melarang penduduk melakukan kegiatan dalam lingkungan empat kilometer dari gunung berkenaan.
Buat masa ini BNPB serta Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) sedang memantau perkembangan letusan gunung berapi itu, katanya.
Kali terakhir gunung berapi berketinggian 1,784 meter yang terletak kira-kira 56 km dari Kota Manado itu meletus ialah pada 2015.
Pada Jumaat lepas, Sulawesi Tengah dilanda gempa bumi dan tsunami yang menyebabkan lebih 1,000 orang disahkan terkorban setakat ini selain memusnahkan puluhan ribu bangunan dan kediaman.
Gempa bumi dengan kekuatan 7.4 pada Skala Richter itu turut mencetuskan lebih 250 gempa susulan sehingga kini.
— BERNAMA