Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) unit berkenaan termasuk lengkap dengan memakai peralatan menyelam ketika SAR.
Beliau berkata pasukan berkenaan turun ke lombong tersebut pada 9.15 malam Rabu dalam keadaan hujan renyai bagi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam lombong tersebut ketika memancing bersama dua lagi rakannya.
“Tiba-tiba air deras berlaku di kawasan itu menyebabkan kesemua mangsa berpusing-pusing di dalam air serta menyebabkan peralatan menyelam mereka tertanggal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata kesemua mangsa bergelut kira-kira 30 minit, dengan anggota di darat segera cuba membantu menaikkan mereka ke tebing.
Abdul Aziz berkata kesemua mereka kemudian berjaya ditarik ke tebing namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Beliau berkata pasukan perubatan yang berada di lokasi cuba memulihkan mangsa dengan melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun tidak berjaya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit ditangguhkan ke 7.30 pagi ini, yang akan membabitkan Pasukan Polis Marin dari Pelabuhan Klang.
Dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan empat dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang meninggal dunia dalam tragedi itu.
Mereka dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang.
Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
— BERNAMA