KUALA LUMPUR- Keputusan mengenai cadangan penghapusan tol seperti yang dinyatakan dalam Manifesto Pakatan Harapan bakal diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan masih lagi menimbang cadangan-cadangan yang telah diberikan oleh pemain industri.
Bagaimanapun, dalam masa yang sama kerajaan juga katanya sedang memberi pertimbangan untuk memberikan rebat, diskaun atau memanjangkan konsesi lebuhraya bertol.
“Ketika ini kita masih lagi berunding untuk mencari satu jalan penyelesaian terbaik kepada pemegang taruh dan kerajaan baharu.
“Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan matang yang memberi kelebihan kepada pemegang kepentingan dan kerajaan baru.
“Apa yang nanti diputuskan cara baiknya yang diterima semua pemegang kepentingan. Saya percaya itu akan dilaksanakan.
“Saya ada terima beberapa cadangan tapi bukan semua dari pihak berkepentingan, tapi saya pasti, akan ada keputusan dalam masa dua, tiga bulan daripada sekarang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Baru, semua pemegang kepentingan memahami keadaan ekonomi negara ketika ini.
Penghapusan tol merupakan salah satu daripada 10 janji Pakatan Harapan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih pemerintahan kerajaan persekutuan.-MalaysiaGazette