Home Politik Mahathir dulu tidak turun kempen, Anwar teruja

Mahathir dulu tidak turun kempen, Anwar teruja

Anwar Ibrahim
Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) beramah mesra dengan jemaah selepas selesai menunaikan solat jumaat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Masjid Pusasda, Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2018.

PORT DICKSON – Presiden PKR, yang juga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu teruja dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadualkan turun kempen pada Isnin depan.

Dalam ucapannya di bilik gerakan utama PH di Port Dickson, Anwar mendedahkan bekas bosnya itu tidak pernah turun padang dalam sebarang PRK semasa menjadi Perdana Menteri keempat.

Ujarnya, sebelum ini Dr Mahathir hanya mengarahkan Timbalan Perdana Menteri mahupun pemimpin tertinggi sahaja yang turun berkempen.

“Saya hari ini gembira kerana baru diberitahu bahawa Tun Mahathir sendiri akan datang dan kempen. Lagi menarik semangat orang PD.

“Tun Mahathir, Perdana Menteri daripada dulu saya jadi Timbalan Perdana Menteri, dia tidak hadir turun ke PRK, kalau ada pilihan raya dia serah kepada orang bawah pergi kempen,” katanya di hadapan lebih 100 warga Port Dickson hari ini.

Anwar merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir bahawa Pengerusi PH itu akan turun berkempen untuk beliau pada Isnin depan.

Dr Mahathir berkata, PH akan mengadakan majlis besar-besar di Port Dickson pada 8 Oktober ini sebagai usaha terakhir berkempen untuk Anwar.

Dr Mahathir berkata, sebelum majlis itu, parti komponen PH turut memainkan peranan masing-masing untuk memujuk pengundi luar balik mengundi pada 13 Oktober ini.

“Untuk memastikan calon kita menang, PH bersetuju mengadakan majlis besar-besar untuk kempen calon kita,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menyambut baik niat Dr Mahathir untuk membantu beliau berkempen di PD.

“Hari ini nampak dia sedia datang dan ini satu petanda baik di Port Dickson. Maknanya bukan hanya saya telah bagi jaminan untuk bantu PD tetapi PM yang ada sekarang pun hadir untuk bersama-sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette