Home Politik Mereka yang jemputlah, kata Anwar

Mereka yang jemputlah, kata Anwar

PORT DICKSON –  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aktiviti yang dihadiri beliau di kem tentera dan di masjid-masjid adalah atas undangan daripada kawasan terbabit.

Berikutan itu, menurutnya, tidak timbul dakwaan salah guna kuasa menggunakan jentera dan aset kerajaan oleh beliau.

“Apa yang saya guna aset kerajaan? Mereka (kem tentera) jemput saya pergi solat, beri tazkirah. Jadi saya pun beri tazkirah,” katanya ketika ditemui media di bilik gerakan utama PH, hari ini.

Sebelum ini calon bebas, Saiful Bukhari Azlan mendakwa ada calon PRK Port Dickson yang lain menggunakan aset kerajaan dalam tempoh berkempen di kawasan tersebut.

Saiful bagaimanapun tidak menyebut nama mana-mana calon yang bersaing bersama beliau.

Dalam pada itu, Anwar yang merupakan calon Pakatan Harapan bagi PRK Parlimen Port Dickson berkata, calon bebas juga ada menggunakan masjid bagi tujuan sama ketika berkempen.

“Saya tidak bangkitkan sebab saya tahu calon bebas pun pergi masjid beri ceramah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette