Home Dunia India beli S-400 walaupun ditekan AS

India beli S-400 walaupun ditekan AS

S-400
Sistem peluru berpandu darat ke udara, S-400.

NEW DELHI – India bersetuju untuk membeli sistem peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia, S-400, kata Kremlin dan dilihat tidak mengendahkan amaran Amerika Syarikat (AS) bahawa pembelian tersebut boleh mengakibatkan sekatan dikenakan di bawah undang-undang AS.

Walaupun tiada pemeteraian perjanjian, urus niaga itu dimuktamadkan semasa
Presiden Vladmir Putin menghadiri sidang kemuncak tahunan di New Delhi, lapor The Moscow Times.

“Perjanjian akan ditandatangani pada penghujung sidang kemuncak” kata
jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada Reuters.

Kontrak itu dianggarkan lebih AS$5 bilion dan ia akan menyediakan India
keupayaan menembak jatuh pesawat dan peluru berpandu pada jarak yang belum pernah dilakukan negara itu sebelum ini.

Bagaimanapun, AS berkata, di bawah Akta Sekatan Melalui Menangani Musuh Amerika (CAATSA), negara yang melakukan perdagangan dengan sektor pertahanan dan perisikan Rusia akan menghadapi sekatan secara automatik.

Pada minggu ini, jurucakap Jabatan Negara AS berkata, pelaksanaan sekatan
akan memberi tumpuan kepada negara yang memiliki senjata seperti peluru berpandu S-400.

Pada bulan lalu, AS melaksanakan sekatan terhadap tentera China kerana membeli pesawat pejuang dan S-400 daripada Rusia pada tahun ini.

India berharap pentadbiran Presiden Donald Trump akan memberi kelonggaran
terahadap sistem persenjataan itu yang mana New Delhi melihatnya sebagai
penghalang terhadap ketenteraan China yang lebih besar.

Selepas perbincangan antara Putin dan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada sidang kemuncak itu, kedua-dua negara memeterai perjanjian yang melibatkan angkasa, tenaga nuklear dan kereta api. – Agensi