KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini memberi amaran kepada perwakilan PKR supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan sepanjang berlangsungnya pemilihan PKR di negeri itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perwakilan berkenaan, sekiranya mereka terbabit dalam perkara tersebut.
“Kita (parti) akan mengadakan mesyuarat khusus (sebelum berlangsung pemilihan), untuk mencari langkah sesuai bagi memastikan pemilihan tersebut berjalan lancar dan berlangsung dalam keadaan baik terutamanya ketika proses pengundian.
“Kita akan ambil tindakan tegas seperti mana yang parti tunjukkan sebelum ini yang mana parti boleh memecat mereka sekiranya mereka bertindak kasar (ketika pemilihan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan peserta program kayuhan berbasikal Bukit Melawati Xploride 2018 di sini.
Turut hadir, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.
Pemilihan PKR bagi Selangor bakal berlangsung pada 14, 21 dan 28 Okt di beberapa daerah termasuk di Shah Alam, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Mengulas lanjut, Amirudin yang turut bertanding bagi merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat pada pemilihan itu berkata, pihaknya juga akan menempatkan anggota polis di sekitar lokasi pemilihan sebagai langkah memastikan kekecohan yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini tidak berulang.
“Kita telah memberi jadual pemilihan kepada pihak polis negeri dengan tujuan mereka dapat turun ke lokasi dan mengawal keadaan… kita sangat berharap pemilihan di negeri ini dibuat dalam keadaan aman,” katanya.
Baru-baru ini di Pulau Pinang dan Kedah, beberapa perwakilan PKR cedera ketika berlangsungnya pemilihan parti itu apabila mereka tidak berpuas dengan perjalanan pemilihan parti yang pertama kali menggunakan sistem e-undi. – Bernama