KUALA LUMPUR – Pengeluar produk pencuci, SR Asia Resources Sdn. Bhd. (SR Asia) berjenama Top5 menyasarkan pertambahan lebih sekali ganda seramai 50 stokis berbanding 20 stokis ketika ini.
Pengarahnya, Mohd. Syukri Ibhrim berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi kerjasama dengan Agrobank menerusi program stokis dalam usaha memberi peluang kepada orang ramai menjadi usahawan.
Beliau berkata, orang ramai boleh merebut peluang itu dengan mendapatkan pinjaman bermula serendah RM1,000 hingga RM50,000 untuk menjadi stokis Top5.
“Kami ingin menggalakkan rakyat Malaysia terutama suri rumah dan ibu tunggal untuk menjadi usahawan sebagai stokis tanpa modal kerana pinjaman disediakan oleh Agrobank.
“Menerusi program stokis, mereka bukan sahaja mendapat latihan dan bimbingan tetapi juga dibantu membina jaringan mengembangkan perniagaan sesama sendiri.
“Kita menyasarkan pertambahan lebih 50 stokis baharu akan menerima manfaat daripada peruntukan yang disalurkan oleh Agrobank nilai anggaran nilai pinjaman sebanyak RM2 juta,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Program stokis bersama Agrobank yang pertama kali dianjurkan oleh SR Asia itu dihadiri 40 bakal dan stokis sedia yang ada.
Top5 dikeluarkan oleh syarikat Bumiputera sejak empat tahun lalu dan produk itu mendapat sambutan menggalakan kerana menggunakan bahan-bahan yang diimport dari Itali, Korea, Perancis, Taiwan dan Singapura.
Kelebihan produk Top5 kerana ia merupakan produk ‘3 in 1’ yang berfungsi sebagai pencuci, pelembut dan pewangi.
Setakat ini, jumlah jualan Top5 adalah 30,000 unit sebulan dan kebanyakan pembeli terdiri daripada orang perseorangan, pengusaha kedai dobi, pemain industri pembersihan produk dan penjagaan kereta.
“Top5 memiliki lima rangkaian iaitu produk penjagaan kereta, pakaian, pembersihan, gel tangan, pembersihan perkilangan yang terdiri daripada lebih 30 jenis bauan dengan menampilkan wangian yang berpanjangan dan anti bakteria,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi dan Penasihat SR Asia, Datuk Seri Mostafa Rahmat memberitahu, Top5 akan berpindah ke kilang baharu di Telok Gong, Klang, Selangor pada tahun depan dalam mengembangkan operasinya yang semakin pesat membangun.
Kata beliau, ketika ini pengeluaran di kilang sedia ada di Puncak Alam, Selangor hanya mampu menghasilkan 150,000 produk sebulan berbanding 500,00 produk sebulan di kilang baharu.
“Kilang tersebut bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada 10,000 penduduk setempat yang mampu merancakkan ekonomi di sana pada masa akan datang.
“Top5 telah melabur sebanyak RM25 juta dengan menggunakan dana sendiri kerana kami serius untuk menjadi pemain utama dalam industri produk pencuci,” katanya.
Dalam pada itu, Top5 yang telah menembusi pasaran Asia Tenggara memiliki haruman yang mendapat permintaan tinggi seperti Pink Amira, Ultra White, Aplle Mystery, Lemon Blossom yang bersaiz 4 kilogram (kg) berharga RM23, 10 kg berharga RM30 dan 25 kg berharga RM55.
Bagi memenuhi kehendak pelanggannya, Top5 akan mengeluarkan sabun berbentuk gel dikenali Dozee yang berkualiti setanding Top5 menjelang akhir tahun ini dan dikeluarkan dalam saiz 4 kilogram berharga RM23 dan 25 kilogram berharga RM55. – MalaysiaGazette