Beliau berkata, kajian mengenainya dilakukan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara ketika ini.
Ditanya jangka masa yang diperlukan untuk kajian itu, beliau berkata, ia mungkin setahun atau dua tahun.
“Saya akan tengok balik perkara ini dan akan bawa ke pihak yang boleh membuat keputusan. Saya tak boleh nak komen, tetapi memandangkan dengan bebanan hutang (negara) yang tinggi, kita merasakan perkara ini perlu dilihat semula,” katanya.
Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Bual Bicara Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.
Pada April lepas, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (Mappa XVI) di Putrajaya, mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk kira-kira 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai lepas.
Pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan tersebut melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.
Pemberian itu bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018.
Sementara itu, Ismail berkata, kajian untuk mengecilkan jabatan-jabatan kerajaan sedang dilakukan bagi mengelakkan pertindihan fungsi ketika ini.
Beliau berkata kajian tersebut dijangka mengambil masa sehingga suku pertama tahun depan.
“Kita sekarang sedang melihat balik, selepas penyusunan ini selesai, kita akan masuk fasa kedua iaitu melihat agensi yang bertindih dari segi fungsi tugas dan sebagainya. Kita akan melihat dan memperkecilkan mengikut kesesuaian,” katanya dengan menambah terdapat banyak jabatan yang akan terlibat.
Ditanya mengenai berita baik untuk penjawat awam pada pembentangan Bajet 2019 pada 2 Nov depan seperti pemberian bonus, Ismail enggan mengulas dan meminta penjawat awam menunggu pengumuman berkenaan. – MalaysiaGazette