Home Nasional 7,268 anggota tentera, 555 anggota polis undi awal esok

7,268 anggota tentera, 555 anggota polis undi awal esok

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun. foto: FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Seramai 7,191 orang daripada jumlah keseluruhan 7,268 orang pengundi awal akan mengundi esok bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, selebihnya 77 orang pengundi awal telah memohon untuk mengundi secara pos iaitu masing masing 23 orang anggota polis dan 54 anggota tentera.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, seramai 555 pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

“Manakala seramai 6,636 anggota tentera serta pasangan mereka akan mengundi di Hangar,Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan di Dewan Serbaguna Kem Segenting, Port Dickson.

“Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai tepat 8 pagi hingga 5.30 petang kecuali tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu khemah A,B dan C akan ditutup awal jam 12 tengahari kerana jumah pengundi yang sedikit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya terbabit.

Disamping itu katanya, para pemerhati pilihan raya daripada wakil-wakil Organisasi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan memerhatikan proses pengundian awal tersebut.

“Untuk makluman, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (Saluran) pada 9 Oktober 2018, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap lokap balai polis.

“Pengiraan undi awal itu hanya akan dijalankan pada 13 Oktober ini secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang telah dilantik SPR,” katanya. – MalaysiaGazette