KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia menerusi Kluster Doktor Muda pergerakan itu akan menghantar 11 sukarelawan termasuk enam doktor ke Kota Palu, Sulawesi dalam misi bantuan perubatan dan kemanusiaan.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kumpulan itu akan berlepas ke Kota Palu esok untuk memberi rawatan kepada mangsa yang tercedera dalam kejadian gempa bumi.
Katanya, kumpulan itu juga turut menyertai misi mencari dan menyelamat seperti mencari mayat dan mangsa yang masih tertimbus di bawah bangunan runtuh, selain membantu mengurus jenazah yang belum sempurna.
Jelas beliau, kumpulan itu akan diketuai Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh, termasuk seorang masing-masing Ahli Farmasi dan Ahli Fisioterapi dan tiga sukarelawan penyelamat.
“Kita juga dimaklumkan, buat masa ini hanya badan terpilih sahaja dibenarkan masuk ke kawasan gempa atas faktor keselamatan dan larangan pihak berkuasa.
“Justeru, Pemuda UMNO berbesar hati hasil kerjasam dengan NGO kemanusiaan terbesar di Indonesia iaitu Aksi, Cepat, Tanggap (ATC), kita telah memperoleh kebenaran khas untuk masuk ke kawasan gempa bumi tersebut dan melaksanakan misi kita,” katanya pada sidang media di Pejabat Pemuda UMNO di Bangunan Dato’ Onn di sini, hari ini.
Menurut Dr Asyraf Wajdi, Pemuda UMNO melahirkan rasa sedih dan berduka cita dengan kejadian gempa bumi berskala 7.5 skala sitcher yang melanda negara jiran itu.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima dari NGO ATC, dianggarkan 152,000 mangsa masih lagi tertimbus, manakala 1,948 mayat telah ditemui, 2,500 mangsa tercedera dan hampir 70,000 rumah musnah.
Lebih malang lagi kata beliau, hospital tempatan dan ubat-ubatan turut musnah dalam kejadian dan rawatan rapi tidak dapat diberikan kepada mangsa.
“Kita difahamkan, masih banyak lagi mangsa tertimbus dalam runtuhan dan lumpur yang belum ditemui, manakala mayat yang telah dijumpai pula tidak dapat diuruskan dengan baik kerana kekangan tenaga kerja dan sumber air bersih,” katanya.
Seramai 11 ahli sukarelawan yang terlibat dalam misi itu selain Dr Akmal ialah Pemuda UMNO Terengganu, Dr Habib Mamat; Dr Varatharaja T Thirugnana Sambantham, Dr Ahmad Omar Salahudin; Pemuda UMNO Alor Gajah, Dr Muhamad Hafiz Abdullah dan Dr Yazreen Yazeed Yaacob.
Turut terlibat, Ketua Pemuda UMNO Taiping, Mohamad Aizuddin Mohamad Noor (Ahli Farmasi), Hafize Jaafar (Physiotherapist), Mohd Izwan Mohd Kamaruzaman (sukarelwan penyelamat), Ahmad Rashdan Ahmad Zabidi (Pemuda UMNO Jasin) dan Mohd Azuredza Nikmat (Pemuda UMNO Merbok). – MalaysiaGazette