KUALA LUMPUR – Kerajaan kemungkinan memperkenalkan cukai baharu dan menjual aset-aset termasuk tanah bagi mendapatkan dana untuk membayar hutang negara.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi.
“Cukai itu tidak akan bebankan rakyat, bukan seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Pelaburan Malaysia: A New Dawn di sini.
Persidangan itu anjuran Kementerian Kewangan.
Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama, Dr Mahathir mengakui pengenalan cukai baharu pasti tidak akan mendapat sokongan rakyat.
Namun, kerajaan tidak ada cara lain untuk menjana dana bagi membayar hutang kerajaan.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Malaysia berdepan dengan hutang yang mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar setakat 31 Disember 2017.
Dr Mahathir berkata, ia bukan situasi yang mudah kepada Kerajaan Pakatan Harapan kerana terpaksa menanggung pelbagai beban yang ditinggalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Pada masa sama, kerajaan perlu memenuhi janji-janji manifesto yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
“Buat janji (manifesto) memang mudah, tapi bukan senang hendak laksanakannya.
“Bukan mudah menangani semuanya dengan pemimpin-pemimpin kerajaan yang baharu, tidak biasa memimpin kerajaan sebab dahulunya menjadi pembangkang.
“Jadi pembangkang lebih mudah, boleh mengkritik kerajaan pemerintah tetapi sekarang mereka memerintah,” katanya.
Disebabkan itu, kerajaan perlu segera mencari pelbagai jalan bagi membangunkan semula negara.
Dr Mahathir berkata, meskipun kecewa dengan situasi sekarang tetapi percaya kesukaran itu dapat dilalui kerana Malaysia pernah menempuh Krisis Kewangan Asia 1997 dan berjaya menanganinya dengan cara tersendiri.
“Situasinya hampir sama cuma krisis sebelum ini nilai mata wang kita jatuh dan Malaysia menjadi miskin.
“Sekarang pula mata wang kita turun naik tetapi nilainya masih kukuh. Masalahnya kita perlu membayar hutang yang besar,” ujarnya.
Oleh itu, katanya, Malaysia perlu melonjakkan pertumbuhan ekonomi supaya hutang negara menjadi kecil.
Beliau mengajak pakar-pakar dan ahli-ahli ekonomi untuk berkongsi idea dalam persidangan ini bagi membantu kerajaan membangunkan semula negara.
Secara berseloroh beliau berkata: “Saya bukan ekonomis tetapi saya juga perlu bekerja bersama mereka.
“Saya tidak pernah menyatakan tidak apa yang mereka kata sebab saya tidak tahu apa mereka kata,” katanya dengan mendapat tepukan daripada hadirin.
Dr Mahathir percaya dengan gabungan semua, Malaysia akan kembali menjadi Harimau Asia dan ekonomi negara kembali pada landasan sebenar. – MalaysiaGazette