PORT DICKSON – Proses pengundian awal melibatkan 6636 orang anggota tentera dan pasangan mereka di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) dan Kem Segenting ditutup tepat 5.30 petang tadi.
Manakala pusat undi awal melibatkan 555 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pula ditutup 12 tengahari tadi ekoran jumlah pengundi awal yang sedikit.
Pusat pengundian awal bermula 8 pagi tadi menyaksikan anggota tentera dan pasangan mereka keluar mengundi beramai ramai di kedua dua tempat itu.
Di PUSASDA lapan saluran undi awal dibuka untuk kelancaran pengundian manakala 4 saluran dibuka di Kem Segenting dengan 100 petugas SPR terlibat dalam proses perjalanaN undi awal.
Setakat 5 petang tadi 61 peratus anggota keluar melaksanakan hak demokrasi mereka.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson kali ini mencatatkan 62 peratus.
Sebaik sahaja pusat undi awal ditutup peti undi telah dimeterai oleh para petugas dan dihantar untuk disimpan di lokap IPD Port Dickson dan akan dikumpulkan di pusat penjumlahan undi pada malam hari mengundi 13 Oktober ini.
Sebanyak lapan peti undi dari lapan saluran di PUSASDA dibawa keluar dan dimuatkan ke dalam lapan kenderaan berasingan yang diiringi kereta MPV polis bermula pukul 5.55 petang dari Hanger PUSASDA dengan dikawal ketat pasukan polis sebelum berlepas ke IPD Port Dickson. – MalaysiaGazette