Tiada isu kehilangan kerja apabila kerajaan menamatkan kontrak MMC-Gamuda sebagai kontraktor bawah tanah projek MRT2.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan pekerja-pekerja tersebut boleh berkhidmat dengan kontraktor baharu yang akan dilantik nanti.
“Projek tersebut tetap diteruskan walaupun kerajaan menamatkan kontrak MMC-Gamuda kerana kita mahu mendapatkan nilai yang lebih baik dengan melakukan tender semula antarabangsa.
“Ini bermakna, kontraktor baharu itu masih memerlukan pekerja bagi meneruskan projek berkenaan.
“Kerajaan tidak membatalkan projek tersebut.
“Malah MMC-Gamuda sendiri mungkin boleh memenangi tender tersebut sekiranya mampu membida pada harga yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum Malaysia: Subuh Baharu di sini hari ini.