KUALA LUMPUR -Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli hari ini mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).
Menurutnya, perubahan besar kepada lanskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memberi peluang kepada Labuan untuk memperbaiki sistem pentadbiran pada peringkat struktur yang akan membolehkan ia keluar dari situasi sekarang yang ditadbir dari jauh iaitu Putrajaya.
“Setelah berfikir panjang dan mendengar pandangan daripada pelbagai pihak, demi masa depan Labuan dan kesejahteraan rakyat Labuan maka saya hari ini
mengumumkan keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah walaupun secara peribadi sebenarnya saya tidak ada masaalah malah sudah enjoy menjadi Ahli Parlimen Pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rozman, Labuan memerlukan kuasa yang cukup luas bagi
membolehkan ia bergerak lebih pantas dan rapat dengan jiran berdekatan.
Katanya, hubungan dengan Sabah harus lebih rapat dan jitu maka adalah wajar untuk pembaharuan ini bermula dengan Ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti yang berpusat di Sabah.
“Saya percaya langkah ini akan menjadi lembaran baru ke arah hubungan di antara Labuan dan Sabah yang lebih intim dan produktif yang akan membawa faedah kepada kedua-duanya.
Menurt Rozman, beliau ingin bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Sabah (dan Sarawak) dalam memperjuangkan hak-hak yang telah sedia termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang perlu dikembalikan kepada kedua-dua wilayah ini.
Beliau berpendapat satu fasa baru dalam hubungan politik, ekonomi dan pentadbiranyang lebih erat di antara Labuan dan Kerajaan Negeri Sabah harus diwujudkan.
Kata Rozman, beliau juga diinginkan oleh pucuk pimpinan Parti Warisan Sabah yang mana calonnya hampir memenangi kerusi Labuan pada PRU14 baru-baru ini.
“Kini, dengan penyertaan saya dalam parti yang sama, hasrat ini menjadi realiti,” tambah beliau.
Menurutnya, sistem demokrasi berparlimen negara masih muda dan belum matang, maka tidak hairan Malaysia masih bergelut untuk mencari formula yang terbaik.
“Walaubagaimanapun,kita berpeluang dan terarah untuk menuju kepada sistem dua parti seperti yang diamalkan di banyak negara maju yang pastinya akan mematangkan sistem politik kita,” jelas beliau.
Pada tahap ini, katanya, perpindahan parti oleh pemimpin-pemimpin politik dan pertukaran sekutu di antara parti-parti adalah sebahagian dari proses itu.
Tambah Rozman, akhirnya kedua-dua belah yang berlawanan dalam sistem dua parti itu tidak akanmempunyai perbezaan yang ekstrem sebab sudah mempunyai DNA dari campuran yang sama.
Katanya, rakyat Malaysia pada ketika itu tidak perlu lagi takut kepada pertukaran kerajaan yang boleh berlaku tanpa membawa perubahan mendadak kepada negara yang sudah matang dan kukuh. – MalaysiaGazette