Home Politik Itu politik zaman 1960, Pas bidas Rais Yatim

Itu politik zaman 1960, Pas bidas Rais Yatim

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad

PORT DICKSON – Pas membidas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim yang memandang rendah calon-calon bukan dari Pakatan Harapan (PH).

Menurut Naib Presidennya, Idris Ahmad, Pas kecewa dengan Rais dan berpandangan  veteran UMNO itu seolah-olah berada dalam politik di zaman 1960.

“Saya terkejut dan saya anggap sebagai tidak patut. Kenyataan beliau seolah-olah politik sekarang berlandaskan kepada tahun 1960 yang mencerminkan politik pembangunan.

“Tidak sepatutnya dia berkata begitu. Tidak timbul soal itu. Takkan dia masih lagi berfikiran seperti tahun 1960,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Markas JPP parti itu di Teluk Kemang.

Rais semalam berkata, tidak timbul soal sama ada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim layak atau tidak untuk bertanding di Parlimen tersebut.

Malah beliau turut berkata, perkara tersebut jelas dalam Perkara 42 Perlembagaan Malaysia bahawa Anwar cuma memerlukan pengampunan penuh untuk bertanding di Port Dickson.

“Pas pun ada mengkritik, kononnya Anwar ini nak dicabar kelayakan. Tapi saya tak payah sebut siapalah yang menyebut perkara ini.

“Dia macam mahir benar undang-undang, tapi saya yakin dia mungkin mahir dari segi undang-undang, tapi bila bicarakan satu persatu akan kalah.

“Dia lupa, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Malaysia, yang diperlukan cuma pengampunan penuh dan apabila dikatakan pengampunan penuh 42 Perlembagaan kita, selesai semua,” kata Rais ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Pesara di Taman Intan Perdana, Port Dickson, malam tadi. -MalaysiaGazette