Home Politik ’20 tahun dulu takda siapa hendak dekat dengan parti saya’ – Azmin

’20 tahun dulu takda siapa hendak dekat dengan parti saya’ – Azmin

Datuk Seri Azmin Ali
Datuk Seri Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak terkejut dengan kegigihan calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu sudah menang.

Dalam keadaan sekarang, katanya, bergerombolan orang mahu menyertai parti itu dan berkehendakkan jawatan.

“20 tahun dulu takda siapa hendak dekat dengan parti saya. Nak bersalam dengan saya pun takut.

“Sekarang jangan nak kata jadi wakil rakyat, nak jadi calon, nak jadi Timbalan Presiden, nak jadi ketua kampung pun beratur sekarang, dulu takda siapa,” katanya dalam program Bicara Minda hari ini.

Bagaimanapun, Azmin berkata, perkembangan itu ada positifnya kerana ada ramai tenaga mahu memberi sumbangan kepada perkembangan PKR.

Azmin berkata, beliau meraikan kehadiran golongan muda untuk bersama-sama perjuangan PKR yang mungkin tidak berada bersama parti itu pada tahun 1998.

“Mungkin mereka tidak ada pada tahun 1998 – jerih, perih kita melawan satu kerajaan yang kuat ketika itu.

“Sementara kita raikan mereka, orang muda kena belajar daripada tokoh-tokoh lama bagaimana sukar untuk bangunkan parti dan gerakan rakyat. Jangan runtuhkan apa yang dibina selama 20 tahun,” katanya penuh makna.

Pada ketika itu, Tan Sri Johan Jaafar yang bertindak sebagai moderator menyampuk sambil berkata: “Kita jangan lupa bahawa kerajaan yang menyebabkan semua itu berlaku, ketua kerajaannya sama”.

Bagaimanapun, Azmin dengan pantas berkata: “tapi sudah berubah”.

Terdahulu, mengulas mengenai pemilihan dalam parti tersebut, Timbalan Presiden PKR itu percaya ahli-ahli akan memilih pemimpin berdasarkan rekod kerja.

Beliau mengingatkan bahawa PKR bukan dilahirkan di istana tetapi atas jalan dan melalui pelbagai dugaan, ujian dan cabaran yang getir.

“Saya masih ingat tahun 1998 kemuncak era reformasi pada ketika itu, di mana saya adalah individu pertama ditangkap, dicampak ke dalam lokap pada 16 September (Anwar ditangkap pada 20 September) kerana pegawai kanan yang paling lama berkhidmat dengan Anwar.

“Pengalaman yang saya lalui getir sekali kerana deraan yang dilakukan, tak pernah terfikir akan berlaku di Malaysia. Saya fikir di Iraq mungkin berlaku. Saya dipukul, ditelanjangkan, diikat, diaibkan – namun ia satu ujian yang perlu lalui, saya tak kesal

“Benih yang ditanam 1998 semakin subur. Rakyat tahu yang mana keadilan, yang mana kebatilan, itu yang kita peroleh pada 9 Mei lalu,” tambahnya yang pernah berkhidmat selama 14 tahun bersama Anwar dan 20 tahun setia bersama reformasi. – MalaysiaGazette