PORT DICKSON – Soal sembah derhaka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam isu pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibangkitkan oleh Pas tidak wujud sama sekali.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, soal kelayakan calon Pakatan Harapan itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson perlu dilihat dari sudutĀ perundangan dan bukan bukan isu politik atau derhaka kepada Agong.
“Pandangan kita dalam isu (pengampunan Anwar) ini sekali kali tidak berupa suatu sembah derhaka kepada agong, kerana YDPA ada institusi yang juga tertakluk kepada undang undang dan Raja bertindak atas perkara 42, pada pandangan kita.
“Kenyataan Istana Negara sendiri berkata berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan YDPA beri pengampunan penuh kepada Anwar Ibrahim, Peguam Negara Tommy Thomas juga menjawab permohonan Siti Kassim Raja beri pengampunan penuh kepada Anwar.
“Tapi isu yang dibangkitkan kami dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Hamid Mohamad ialah adakah Anwar dapat pengampunan bebas sebagaimana di bawah Perkara 48,” katanya dalam sidang media di Markas Pas Teluk Kemang di sini.
Menurut Takiyuddin, secara spesifik Perkara 48 menyebut pengampunan bebas dan sudah tentu ada perbezaan dalam pengampunan penuh dan bebas, apatah lagi perkataan pengampunan penuh tak disebut dalam perlembagan jadi tidak timbul mempertikaikan kuasa agong.
“Pihak paling layak buat tafsiran ini adalah Mahkamah Tinggi dan sebab itu seorang pengundi PD mengemukakan bantahan tetapi dipersoal tidak mempunyai locus standi di sisi undang undang.
“Tun Hamid pernah berkata dalam kenyataannya bahawa seseroang yang diampun di bawah perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tak semestinya diberi pengampunan untuk bertanding sebagai ahli Parlimen,” ujarnya.
Justeru wakil rakyat Kota Bahru itu juga menegaskan Anwar hanya diberikan pengampunan penuh di bawah perkara 42 dan Istana tidak pernah menyebut tentang Perkara 48 dalam pengampunan Anwar,
“Jadi pada pandangan kita berdasarkan nasihat pakar perundangan, bahawa selagi dia tak dapat pengampunan di bawah Perkara 48, dia (Anwar) tak layak jadi calon dalam pilihan raya dan untukĀ jadi ahli Parlimen,” katanya lagi.
Takiyuddin juga bersetuju bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal memain peranan dalam isu kelayakan Anwar sebagai calon.
Katanya, SPR sepatutnya merujuk kepada mahkamah sekiranya tidak mampu membuat tafsiran jelas dalam soal kelayakan Anwar sebagai calon.
“Pas ada minta SPR menangguhkan PRK jika mereka tidak dapat membuat satu tafsiran jelas dalam soal kelayakan Anwar sehingga dapatkan satu deklarasi mahkamah dalam perkara itu,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette