Home Utama Rakyat Malaysia bising isu khalwat, LGBT tapi bila isu rasuah senyap –...

Rakyat Malaysia bising isu khalwat, LGBT tapi bila isu rasuah senyap – Mat Sabu

Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu beramah mesra bersama peserta pada Seminar UMCEDEL (Hala Tuju Parti Amanah Pasca PRU-14) di Univesiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OKTOBER 2018
Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu beramah mesra bersama peserta pada Seminar UMCEDEL (Hala Tuju Parti Amanah Pasca PRU-14) di Univesiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu hairan dengan sikap rakyat Malaysia yang berminat dengan isu khalwat dan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT), tetapi berdiam diri dalam kes rasuah yang berleluasa di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Katanya, rakyat termasuk penuntut universiti sanggup bersengkang mata dan menggunakan medium media sosial mengulas isu berkenaan, walaupun hakikat mereka bercakap tanpa fakta yang betul.

“Isu 1MDB yang didedahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) lengkap dengan fakta angka dan bukti lagi, mereka boleh berdiam diri.

“Tetapi kalau isu khalwat dan isu LGBT yang ternyata disalah lapor oleh media, mereka cepat-cepat menyambutnya dan menghebahkannya dalam pelbagai media sosial,” katanya pada seminar PRU Ke-14, Gerakan Rakyat Menangkan Pakatan Harapan – Di mana Cendikiawan di Bilik Kuliah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya di sini, hari ini.

Seminar itu diselaraskan Pensyarah Kanan UTM Perdana School, Dr Mazlan Ali.

Menurut Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, penyelewengan 1MDB saja melibatkan kehilangan wang rakyat berjumlah berbilion ringgit.

Sedangkan, katanya, wang itu boleh digunakan untuk meningkatkan sistem pembelajaran penuntut di universiti.

“Bayangkan kerajaan sudah membayar RM7 bilion hutang 1MDB dan menanggung berpuluh bilion ringgit lagi kadar faedah sahaja, tidak ada pun cendekiawan bangkit bersuara.

“Ini yang memaksa pembangkang dari PH mengajak rakyat pelbagai kaum turun di jalan raya untuk memaksa kerajaan BN ketika itu turun.

“Mereka (BN) kuat dan kita tak merasa dapat menjatuhkan kerajaan itu. Tapi atas kesedaran rakyat, pada PRU14, kita menang dan berjaya menawan Putrajaya.

“Sebaik sahaja kita menang, kita siasat mereka yang terlibat dan sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri) sudah didakwa,” katanya.

Katanya, selain cendekiawan, golongan budayawan juga seperti tidak berani bersuara, melainkan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang nampak lantang menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Mat Sabu turun mengimbau sejarah perjuangannya menentang kerajaan BN di era 70 an dan 80 an sehingga beliau tidak dibenarkan memasuki semua universiti termasuk UM.

“Dahulu di universiti inilah tempaf perjumpaan saya dan rakan dalam pembangkang. Kami mendapatkan info daripada pelajar dan pensyarah untuk menyuarakan kritikan terhadap kerajaan.

“Bagaimanapun, adik-adik sekarang senyap. Kerajaan buat salah pun senyap. Kerajaan menyeleweng duit rakyat pun senyap,” katanya. – MalaysiaGazette