Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu hairan dengan sikap rakyat Malaysia yang berminat dengan isu khalwat dan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT), tetapi berdiam diri dalam kes rasuah yang berleluasa di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Katanya, rakyat termasuk penuntut universiti sanggup bersengkang mata dan menggunakan medium media sosial mengulas isu berkenaan, walaupun hakikat mereka bercakap tanpa fakta yang betul.
“Isu 1MDB yang didedahkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) lengkap dengan fakta angka dan bukti lagi, mereka boleh berdiam diri.
“Tetapi kalau isu khalwat dan isu LGBT yang ternyata disalah lapor oleh media, mereka cepat-cepat menyambutnya dan menghebahkannya dalam pelbagai media sosial,” katanya pada seminar PRU Ke-14, Gerakan Rakyat Menangkan Pakatan Harapan – Di mana Cendikiawan di Bilik Kuliah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya di sini, hari ini.