PORT DICKSON – Biarpun keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson belum pun diumumkan, namun pengundi dan rakyat di sini mula membanjiri perkarangan bilik gerakan utama Pakatan Harapan di PD Waterfront.
Dianggarkan lebih 2,000 rakyat Port Dickson sudah berada di sini sejak jam 7 malam tadi.
Rata-rata mereka asyik mengikuti paparan skrin di hadapan bilik gerakan utama yang mencatatkan jumlah undi terkini.
Malah bilik gerakan turut menyediakan hidangan ayam bakar dan minuman bagi meraikan kemenangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan tidak rasmi, Anwar memenangi PRK Port Dickson dengan majoriti majoriti hampir 25,000 mendahului enam pesaingnya.
Laporan tidak rasmi menunjukkan setakat pukul 8.30 malam menyaksikan Anwar berjaya memperoleh majoriti 18,790 undi.
Keputusan itu sekaligus menunjukkan Anwar berjaya mengatasi majoriti yang diperoleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah iaitu 17,710 semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Mei lalu.
Setakat ini, jumlah undi yang dikira adalah sebanyak 36,335 undi dan Anwar memperoleh 25,409 undi atau pun 69.93 peratus. -MalaysiaGazette