KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan rakyat agar tidak mencontohi dirinya yang tidak selalu bersukan.
Katanya, sejak kecil beliau tidak mengamalkan aktiviti tersebut dan kesannya kini dirasai terhadap kesihatannya.
“Saya mengakui saya bukan ahli sukan sangat. Saya ini tak guna otot dan tubuh badan seperti yang saya nasihatkan orang lain. Orang lain patut buat apa saya tak buat.
“Jangan ikut Dr. Mahathir, dia tak betul pun. Suruh orang bersukan, dia tak bersukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, ketika dibangku sekolah beliau hanya terlibat dalam sukan ragbi dan mengakui sukan tersebut tidak memerlukan kecekapan.
“Sejak sekolah lagi saya tak main banyak sukan, yang suka main adalah ragbi. Mengapa ragbi? Ragbi tak perlu kecekapan pun, yang perlu kena berani kepala hantuk kepala lain.
“Bukan nak masuk bola dalam gol sangat, cuma hendak berkelahi sama-sama sahaja. itu sebab saya terlibat dengan ragbi,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau berkata, pada usianya 93 tahun, sukan yang pernah disertai itu itu tidak boleh dilakukan olehnya lagi.
Sementara itu ketika ditemui pemberita, Dr Mahathir mengulas mengenai kejayaan Malaysia dalam memenangi 15 pingat emas di Sukan para Asia di Indonesia.
“Mereka sangat bersemangat dan benar-benar berusaha.
“Malah mereka yang bersaing dalam kerusi roda adalah luar biasa, saya mengucapkan tahniah kepada mereka,” tambah beliau.
Hadir sama pada sambutan Hari Sukan Negara yang dihadiri lebih 40,000 peserta itu, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman. – MalaysiaGazette