Home Nasional Kelayakan Anwar: Takiyuddin sepatutnya arif tafsir undang undang

Kelayakan Anwar: Takiyuddin sepatutnya arif tafsir undang undang

Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap kepada media pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Datuk Takiyuddin Hassan sepatutnya memahami proses undang undang dalam isu mengenai status kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, perkara tersebut diluar kuasa dan fungsi pentadbiran suruhanjaya itu.

Malah, katanya, isu itu telah dijawab banyak kali bahawa fungsi SPR hanya ‘administrative’ dalam undang undang.

Azhar berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Setiausaha Agung Pas itu semalam bahawa SPR sepatutnya menangguhkan PRK Parlimen Port Dickson sehingga keputusan mahkamah pada 8 November ini.

“Kalau ada pengampunan calon, kami tidak berada dalam kedudukan untuk menyiasat atau mendapatkan pendapat mengenai pengampunan itu.

“Tempoh penamaan calon pun sejam sahaja, jikalau hendak menyiasat pendapat berhubung pengampunan, ia memerlukan masa dua bulan iaitu pergi mahkamah dan tanya keputusan hakim lagi.

“Saya serahkan kepada mahkamah menentukannya, kalau tidak, tempoh untuk mengadakan proses penamaan calon akan memakan masa lapan bulan.

“Jika ditambah tempoh rayuan sudah setahun yang mana satu proses yang lama dan kawan baik saya (Takiyuddin) yang juga peguam sepatutnya arif tafsiran undang undang dalam perkara ini,” katanya.

Semalam Takiyuddin membidas SPR yang seharusnya menangguhkan proses PRK sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai status kelayakan calon Pakatan Harapan itu.

Pada 29 September lalu, seorang pengundi berdaftar di Port Dickson mengemukakan petisyen bantahan kepada mahkamah untuk menghalang Anwar daripada bertanding dalam PRK atas dakwaan gagal mendapat pengampunan bebas.

Takiyuddin yang juga wakil rakyat Kota Bharu berkata, Anwar tidak layak bertanding kerana hanya mendapat pengampunan penuh dibawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan bukannya pengampunan bebas dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menafikan Pas menyembah derhaka yang Yang di-Pertuan Agong yang mengampunkan Anwar sebaliknya hanya mempersoalkan sama ada Anwar dapat pengampunan di bawah perkara 48 atau sebaliknya. – MalaysiaGazette