KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson Sabtu lalu.
Perdana Menteri berkata, beliau gembira kerana Anwar bukan sekadar menang tetapi mencatatkan kejayaan yang besar dalam mengetepikan kesemua enam pesaingnya termasuk Pas.
“Kami memang tahu dia (Anwar) akan menang.
“Sebab apabila berlaku persaingan tujuh penjuru undi pembangkang akan pecah kepada enam.
“Maka tentunya yang ketujuh akan menang. Anwar menang besar tentunya saya gembira,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai Anwar yang kembali ke Parlimen dan mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dalam upacara pukul 10.04 pagi tadi.
Turut menyaksikan detik itu, isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Ketua Umum PKR itu menang dengan memperolehi 31,016 undi dan majoriti 23,560 dalam PRK yang diadakan pada 13Oktober lalu.
Lima calon bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kalah dan hilang wang pertaruhannya kali ini.-MalaysiaGazette
Anwar menang bergaya dengan majoriti 23,560 undi
Anwar angkat sumpah MP Port Dickson Isnin ini
Matlamat hantar Anwar ke Dewan Rakyat tercapai – Danyal