AUSTRALIA – Manusia terpantas di dunia, Usain Bolt terkejut dengan notis ujian doping yang diberikan Australian Sports Anti-Doping Authority terhadapnya walaupun sudah bersara sebagai pelari pecut.
Semua gara-gara dia menjaringkan dua gol pada perlawanan persahabatan bertemu Macarthyr South West beberapa hari lalu.
Blot kini sedang menjalani sesi latihan bersama kelab A-League, Central Coast Mariners.
Namun atlet kelahiran Jamaica itu masih belum menandatangani kontrak sebagai pemain profesional kelab tersebut.
Dia berkongsi rasa terkejut itu menerusi Insta Story di Instagram milik sambil menunjukkan notis tersebut.
”Saya telah mengumumkan persaraan daripada sukan trek dan padang dan mahu menjadi seorang pemain bola sepak tetapi lihatlah ini (sambil menunjukkan notis tersebut dalam ‘instagram story’ milik beliau).
”Bagaimana saya boleh menjalani ujian doping hari ini? Saya masih belum lagi menjadi pemain bola sepak profesional.
”Jadi saya bertanya kepada wanita itu, ‘kenapa saya perlu untuk menjalani ujian doping walaupun saya masih belum lagi menandatangani kontrak bersama kelab?”
”Dan mereka memberitahu bahawa saya merupakan atlet elit, jadi saya perlu untuk diuji,” luah Bolt. – MalaysiaGazette