Home Nasional Bank Muamalat taja 50 pasangan PDRM kahwin

Bank Muamalat taja 50 pasangan PDRM kahwin

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid (dua kanan) menukar Perjanjian Persefahaman dengan Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Hussin Ismail (dua kiri) diiringi Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Peer Mohamed Ibramsha (kanan) dan Bendahari Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Mohd Najib Abd. Aziz (kiri) pada Majlis Menandatangan Perjanjian di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Yayasan Pengaman Malaysia di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyambut baik usul Bank Muamalat Malaysia Berhad yang akan menaja majlis perkahwinan 50 pasangan anggota polis Disember ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya berterima kasih dengan inisiatif Bank Muamalat yang akan banyak membantu meringkan tanggungan mereka yang melangsung perkahwinan ketika itu.

“Saya menerima tawaran pihak Bank Muamalat dengan hati terbuka untuk membiayai majlis perkahwinan beramai-ramai anggota dan pegawai polis.

“Maklumlah kami kerja siang dan malam. Saya anggarkan 50 pasangan ke bawah dan kami masih mencari bakal-bakal pengantin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Pengaman dan Bank Muamalat di Hotel Istana hari ini.

Tambah Mohamad Fuzi, pihaknya membuka peluang itu kepada mana-mana pegawai dan anggota yang masih belum pernah berkahwin.

“Kita dah pilih beberapa tempat, mungkin Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Pulapol (Pusat Latihan Polis) atau Maktab PDRM.

“Tempat tak ada masalah cuma kita nak dapatkan pengantin dulu. Kita tak ada lah buat iklan tapi sudah diwar-warkan majlis kita jangka Disember ini. Mohon kepada yang belum mohon untuk segera mohon,” ujarnya.

Dalam pada itu, MoU yang ditandatangani antara Bank Muamalat dengan Yayasan Pengaman Malaysia bertujuan untuk membantu bakal pesara termasuk pesara PDRM dalam ilmu pengurusan kewangan.

MGF16102018_MOU BANK MUAMALAT DAN YAYASAN PENGAMAN_03
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid bercakap kepada media pada Majlis Menandatangan Perjanjian di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Yayasan Pengaman Malaysia di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2018

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, dengan keadaan kos sara hidup meningkat dan keadaan kewangan khasnya golongan pesara yang tidak menentu, pihaknya tampil dengan program kesedaran dalam ilmu pengurusan wang.

“Antara produk yang kita tawarkan termasuk pembiayaan peribadi pesara (3P) dan pembiayaan peribadi pra-persaraan (3PS) yang mempunyai tempoh sehingga 10 tahun. Yang menariknya, pembiayaan ini boleh digabungkan dengan pembiayaan ASB tujuan permulaan modal.

“Para pesara hanya perlu modal RM10,000 dan kita akan gandakan dividen sebanyak tujuh kali. Harap MoU dengan Yayasan Pengaman Malaysia yang diwujudkan untuk pesara PDRM akan memberi manfaat sebaiknya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette