Home Nasional Gaji minimum RM1,050 akan dirujuk ke Kabinet untuk disemak semula

Gaji minimum RM1,050 akan dirujuk ke Kabinet untuk disemak semula

Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran bersama wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang hadir bagi menghantar memorandum bantahan gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 OKTOBER 2018.
Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran bersama wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang hadir bagi menghantar memorandum bantahan gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan di luar Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tuntutan supaya kerajaan menyemak semula gaji minimum RM1,050 yang akan dilaksanakan awal tahun depan akan dirujuk kepada Kabinet untuk hasil yang terbaik.

Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran berkata, beliau selaku menteri bertanggungjawab akan membawa memorandum tuntutan itu untuk difahami dan diteliti oleh Kabinet.

Memorandum tersebut antara lain adalah dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), beberapa wakil kesatuan pekerja dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya pasti akan merujuk perkara ini untuk disemak semula oleh Kabinet dan segala pandangan, cadangan serta kebimbangan mereka saya ambil berat dan akan diberi pertimbangan sewajarnya,” katanya selepas mengadakan perbincangan bersama 20 wakil NGO, MTUC dan PSM di bangunan sementara Parlimen di sini.

Menurut Kulasegara, kadar hutang negara yang tinggi serta keadaan ekonomi persekitaran menyebabkan kerajaan hanya mampu menetapkan gaji minimum RM1,050 berbanding RM1,500 seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

Tambah beliu, beliau menerima realiti dan keluhan rakan rakan wakil pekerja yang mendakwa kuantum gaji minima yang ditetapkan ketika ini terlampau rendah berbanding negara jiran Thailand.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan mengambil berat keluhan para pekerja yang berpendapat jumlah gaji minimum di negara ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara jiran Thailand.

Sehubungan dengan itu, beliau percaya kenaikan RM50 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini bersifat sementara dan kerajaan akan cuba memenuhi janji gaji minimum RM1,500 dalam tempoh kurang lima tahun.

Terdahulu lebih 100 pekerja dan aktivis dari PSM dan MTUC diketuai Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berhimpun di hadapan Parlimen membantah gaji minimum RM1,050.

Solomon dalam perbincangan bersama Kulasegaran dan pegawai kanan kementerian menjelaskan kadar kenaikan setakat RM50 tidak setimpal dan satu penganiayaan kepada golongan miskin B40.

“Objektif kami ialah meminta kerajaan PH supaya sedar bahawa kumpulan B40 dalam keadaan kritikal menguruskan kos sara hidup sehingga terpaksa berhutang.

“Kenaikan kos sara hidup sebanyak 17 peratus sejak 2017 bukti RM1,050 tidak signifikan dan tidak akan menyelesaikan masalah gaji minima selama lamanya.

“Kebanyakan yang mengundi kerajaan PH masih menaruh harapan isu ini diberi pertimbangan yang serius untuk membela nasib golongan miskin yang turut menerima tempias akibat ketiadaan kuasa membeli dengan gaji semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette