KUALA LUMPUR – Pemimpin dan ahli ahli DAP diingatkan supaya tidak membawa budaya kurang sihat yang pernah diamalkan Barisan Nasional ke dalam parti itu.
Itu teguran tegas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengenai tindakan beberapa pemimpin parti itu yang telah menerima pingat kebesaran daripada Yang Dipertua Negeri Melaka baru baru ini.
“DAP tidak mahu jadi macam BN dan juga MCA yang mana ramai dalam parti itu pernah mengejar gelaran pingat untuk bergelar ‘Datuk’.
“Saya bukan ‘Datuk’ tapi saya menjadi pemimpin berkhidmat kepada rakyat juga selama ini.
“Kalau kamu nak jadi wakil rakyat terpilih yang berjaya, perkara paling penting ialah berkhidmat untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini.
Menurut Guan Eng, pihaknya menghormati penganugerahan pingat kebesaran oleh kerajaan Melaka namun tidak mahu memberi gambaran terlalu mengejar untuk gelaran pingat.
Menurut Menteri Kewangan itu, budaya DAP perlu dipertahankan dan sebab itu beliau sentiasa mengingatkan ahli dan pemimpin parti supaya terus berpegang kepada prinsip yang dianuti sejak berdekad lama.
Guan Eng menyokong kenyataan Anthony Loke semalam mengenai ketidakpuasan Jawatankuasa Eksekutif DAP terhadap penjelasan yang diberikan penerima pingat dari DAP.
Ujar beliau ini kerana apa yang telah dipraktikkan oleh parti itu selama ini adalah pendirian sebenar mereka dan menjadi cabaran untuk menolak budaya tidak sihat dari BN itu tidak merosakkan parti.
“Kita harus memberi keutamaan kepada rakyat dan jika kita mengharapkan penghargaan ia haruslah datang dari rakyat yang berpuas hati dengan perkhidmatan wakil rakyat yang dipilih mereka.
“ Tetapi bukannnya dengan cuba menidakkan status rakyat yang merupakan anugerah sebenar,itulah pendirian parti.
“Bagaimanapun pendirian DAP ini tidak merujuk kepada mana mana parti luar (PH) dan saya juga menghargai sokongan oleh beberapa rakan yang masih tidak berganjak dari prinsip dengan menolak anugerah pingat kebesaran sebab mahu fokus kepada rakyat,” tegas Ahli Parlimen Bagan itu lagi. – MalaysiaGazette