Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
HAL yang hendak saya kupas ini mungkin sensitif dan menyinggung perasaan. Jadi saya mulakan dengan memohon ampun kepada sesiapa juga yang berasa tersinggung.
Ada dua aliran pemikiran dalam hal yang hendak saya bahaskan ini.
Pertama diwakili oleh seorang Tun yang menghantar pesanan WhatsApp (tolong, bukan wasap) menyatakan kejelikan melihat menteri setahun jagung (sebenarnya baru empat bulan lebih kurang) dianugerahkan bintang kehormatan (honorific title) negeri Melaka.
Kedua, seorang penggiat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga menghantar pesanan WhatsApp, menuduh langkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) menolak bintang kehormatan sebagai “protes atas ketuanan raja-raja Melayu.”
Saya amat setuju dengan orang tua bergelar Tun itu. Gunakanlah alasan dan kayu ukur apa pun, tindakan lima menteri itu menerima bintang kehormatan negeri Melaka adalah tidak bijak.
Ia memberi gambaran bahawa tidak ada sebarang perbezaan di antara menteri Pakatan Harapan (PH) dengan para pembesar kerajaan Barisan Nasional yang gilakan pangkat, gelaran dan kekayaan.
Maaf cakaplah kalau saya katakan ramai dalam parti masing-masing belum jelas apakah jasa mereka sehingga melayakkan mereka menerima darjah kehormatan itu.
Namun begitu saya tidak menafikan ada sebahagian kecil mereka yang berjasa dan terbukti kerana lama berjuang dalam pembangkang.
Tetapi yang rakyat nilai sekarang adalah jasa dan prestasi mereka sebagai menteri Kabinet PH.
Rakyat jelata jengkel. Perbahasan dalam media sosial jelas menunjukkan majoriti rakyat jelata tidak bersetuju malah berasa loya dengan penganugerahan dan penerimaan bintang penghormatan tersebut.
Soalnya, apakah mereka ini diberikan bintang kerana pangkat mereka besar atau jasa mereka yang besar?
Adakah bintang kehormatan diberikan kerana pangkat dan kedudukan atau jasa bakti kepada masyarakat, negeri dan negara?
Kalau kerana pangkat mereka besar, siapakah yang memberikan mereka pangkat itu?
Adakah mereka mendapat restu orang atau pihak yang memberikan mereka pangkat yang besar itu sebelum bersetuju menerima bintang kehormatan tersebut?
Kalau kerana berjasa, apakah jasa mereka yang terserlah sejak menjadi menteri?
Sebaliknya, di warung kopi pasar tani Pendang, Kedah, semalam saya mendengar rungutan rakyat jelata tentang menteri, menteri besar dan timbalan menteri PH yang tidak nampak kelibat sejak menang pilihan raya.
Mereka juga bersungut mengenai banyak masalah harian yang belum diatasi.
Seorang daripada mereka bertanya, bolehkah menteri yang lahir dan membesar di bandar raya faham susah payah hidup rakyat jelata di kampung dan desa?
Menteri yang dimaksudkan itu berkata anugerah bintang Melaka yang diterimanya akan memberikannya semangat untuk lebih tekun berkhidmat kepada rakyat jelata.
Apakah undi dan mandat rakyat jelata belum memadai untuk memberikan beliau semangat?
Perlu Peka
Kalau pemimpin PH peka atau dalam lain bahasa, lebih baik daripada pemimpin BN, mereka perlulah sedar bahawa kita kini berada dalam persekitaran baru.
Kita sedang menyusun semula keutamaan dan tingkah laku politik kita. Gerak geri kita sedang diperhatikan oleh semua pihak.
Kita kena ingat bahawa ketika pilihan raya umum lalu, ada di kalangan anggota golongan feudal yang “berkempen” untuk mengekalkan BN dengan menghina PH, khususnya Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Saya setuju dengan pendirian DAP tidak menggalakkan pemimpinnya mengutamakan bintang kebesaran sebaliknya menumpukan perhatian kepada menunaikan amanah rakyat jelata.
Bagi saya, ini bukan soal “protes atas ketuanan Raja-raja Melayu” atau apa-apa, tetapi isu dasar. Sepatutnya semua parti PH mengutamakan khidmat kepada rakyat jelata dan membentuk persekitaran yang lebih sama rata (egalitarian) bukan memanjangkan amalan feudalisme, kelas dan kasta.
Lagipun bintang kehormatan semakin hari semakin tidak bermakna apabila diberikan seumpama “door gift” majlis kenduri kepada orang yang entah apa-apa latar belakangnya – termasuk ketua kongsi gelap, kaki pukul dan gedebe.
Melaka bukanlah sebuah negeri besar. Tapi dalam majlis penganugerahan kali ini, selain lima orang menteri, 414 yang lain turun terima bintang dan gelaran. Boleh baca DI SINI.
Saya harap, dalam Malaysia baru ini marilah kita muliakan balik institusi-institusi negara agar masing-masing berada di tempat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Ingatlah tidak seorang pun yang memijak bumi Malaysia dan menjunjung langitnya berada di atas Perlembagaan. Kita semua tertakluk kepada Perlembagaan.
Dan selagi kerajaan PH berkuasa – atas penentuan rakyat jelata – tolonglah utamakan perkhidmatan. Belum terlambat memperbetulkan kesilapan. Jadikan cerita bintang Melaka ini sebagai teladan dan sempadan.
Wallahua’lam.
- Tulisan ini dipetik dari The Scribe A Kadir Jasin