KUALA LUMPUR – Defisit fiskal dijangka lebih besar sebanyak 3.0% daripada sasaran yang ditetapkan semasa bajet yang lepas semasa peralihan pentadbiran kerajaan baharu.
Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah mengukuhkan kedudukan fiskal jangka sederhana, antara lain memastikan defisit fiskal semakin mengecil, memperkukuh pengurusan hutang awam dan mempercepat reformasi institusi.
Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 berkata, langkah ini akan diimbangi dengan keperluan untuk mengekalkan pertumbuhan dan menyampaikan perkhidmatan awam yang berkualiti bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, semasa tempoh peralihan bagi pentadbiran baharu, sasaran fiskal akan disesuaikan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi. Ekonomi
mungkin akan terkesan dalam jangka pendek berikutan reformasi fiskal yang serta merta ini.
Namun, reformasi ini adalah perlu bagi meletakkan asas yang lebih kukuh untuk pertumbuhan yang lebih mampan dan inklusif.
Hasil akan terus dipelbagaikan dengan meningkatkan sumbangan cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai seperti lesen, permit, fi dan sewaan.
Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang ditambah baik telah menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada September 2018.
Kerajaan akan mengkaji untuk mengenakan cukai ke atas transaksi dalam talian berdasarkan peningkatan e-dagang dan aktiviti berkaitan ekonomi perkongsian.
Lebih banyak inisiatif bagi menambah baik pematuhan cukai juga akan dilaksana untuk memastikan kutipan cukai langsung dan tidak langsung dimaksimumkan.
Sementara itu, hasil bukan cukai akan dipertingkat, antara lain dengan memaksimum pemulihan kos aset Kerajaan.
Dalam hal ini, lebih banyak agensi akan diperkasa untuk menambah baik kadar penggunaan aset.
Sehubungan itu, dana terakru akan diguna untuk membiayai kos mengurus, terutama bagi penyenggaraan aset.
Usaha ini akan mengurangkan kebergantungan risiko kelewatan dan peningkatan kos.
Kerajaan komited untuk menerima pakai kaedah pelaporan pengurusan kewangan awam yang lebih telus dengan mempercepat pelaksanaan sepenuhnya perakaunan akruan.
Di bawah kaedah ini, hasil dan perbelanjaan masing-masing akan direkod sebaik sahaja diterima dan ditanggung.
Obligasi seperti hutang, liabiliti luar jangka dan pajakan kewangan juga akan diambil kira apabila ia dipersetujui bagi membolehkan pengurusan kewangan awam yang lebih menyeluruh. – MalaysiaGazette