KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa lega kerana label ‘kerajaan boros’ ketika pemerintahannya terbukti tidak benar sama sekali apabila hutang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup daripada 54 peratus kepada 50 peratus.
Jelas Najib, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, banyak kenyataan ‘labelling’ yang telah dikeluarkan oleh pembangkang kononnya kerajaan boros namun kini diakui defisit fiskal berkurangan.
“Pada saya dalam pembentangan tidak ada banyak perkara baru yang dimaksudkan. Banyak yang berpandukan kepada kesinambungan yang telah dicapai oleh kerajaan terdahulu. Banyak penegasan-penegasan yang telah dibuat oleh BN malah telah diakui beberapa perkembangan ekonomi kita.
“Misalnya pada 2017, pencapaian kita begitu baik. Malah sebelum ini ada dakwaan kononnya kerajaan BN boros tapi apa yang saya tengok dalam buku ini, rupanya hutang kerajaan telah berkurangan daripada 54 peratus KDNK kepada 50 peratus.
“Macam mana kita jadi kerajaan boros apabila hutang menguncup, defisit fiskal berkurangan ketika tempoh itu. Ada beberapa aspek kenyataan yang diutarakan tanpa fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Parlimen hari ini oleh Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Najib juga melahirkan rasa kecewa kerana RMK11 tidak menyebut apa-apa janji manifesto yang sebelum ini menjadi ‘akujanji’ kerajaan Pakatan Harapan kepada rakyat.
“Tidak ada sebut langsung tentang janji-janji manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat dalam pembentangan. Maknanya, semua yang telah dijanjikan tidak akan ditunaikan.
“Antaranya seperti penghapusan tol, penurunan harga minyak dan juga PTPTN. Malah program serta inisiatif kerajaan terdahulu, seperti rumah mampu milik yang kita sasarkan satu juta dalam lima tahun sudah dikecilkan,” ujarnya. – Malaysia Gazette
kaki sibuk tumpang semangkuk. kalau umno menang rakyat tak tahu pun hutang negara satu trilion. gst mungkin naik lagi menteri lebih mewah . rakyat tambah susah.