KUALA LUMPUR – Penggunaan pengangkutan semasa bagi MRT 1 adalah seramai 180,000 penumpang sehari iaitu jauh lebih rendah daripada unjuran yang disasarkan seramai 400,000 penumpang sehari.
Pemanjangan laluan LRT 2 dari Kelana Jaya dan Seri Petaling ke Putra Heights telah melengkapkan rangkaian antara laluan Kelana Jaya dan Ampang.
Walaupun projek tersebut telah siap, perkongsian mod pengangkutan awam hanya 21% pada tahun 2017 menjadikan ia sukar untuk mencapai sasaran 40% pada tahun 2020.
Perkongsian mod pengangkutan awam yang rendah adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti ketidakcukupan ketersambungan, kebolehcapaian dan keboleharapan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam.
Sementara itu, pembangunan lebuh raya adalah tertumpu di kawasan luar Lembah Klang seperti Lebuhraya Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dan akan bersambung dengan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai untuk meningkatkan ketersambungan di antara koridor dan bandar utama.
Di samping itu, Lebuhraya Pan Borneo yang dimulakan pada tahun 2015 menyediakan ketersambungan jalan raya dari Sindumin ke Tawau di Sabah dan Telok Melano ke Limbang di Sarawak.
Beberapa lebuh raya di Lembah Klang juga sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan iaitu Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE).
Semua lebuh raya ini apabila siap sepenuhnya akan meningkatkan jaringan jalan raya dan memudahkan aliran trafik, terutama semasa waktu puncak. – MalaysiaGazette